Rosol Wahid

KUALA LUMPUR – Dewan Negara yang bersidang petang ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid memaklumkan bahawa suatu akta untuk meminda Akta Kawalan Bekalan 1961 atau Akta 122 telah ditimbangkan dalam jawatankuasa dan telah dipersetujukan tanpa pindaan.

Seramai sembilan Ahli Dewan Negara (ADN) mengambil bahagian dalam perbahasan itu dan semua mereka menyatakan sokongan dengan pindaan berkenaan.

“ADN telah berbincang dan berbahas berkaitan dengan pindaan RUU itu dan semuanya menyokong apa yang kita buat dan pinda ini.

“Perbahasan berkisar terhadap apa yang menjadi kapasiti atau tanggungjawab KPDNHEP berkaitan dengan subsidi minyak, kebocoran barang-barang subsidi ke sempadan, isu integriti, rampasan dan sebagainya,” katanya.

Persidangan hari ini turut meluluskan RUU Kerja (Pindaan) 2021 bawah Kementerian Sumber Manusia pada sidang sesi pagi tadi. – MalaysiaGazette