Tan Sri Lee Kim Yew. foto SYAFIQ AMBAK, 13 MEI 2019

TERKEJUT juga membaca surat taikun hartanah Tan Sri Lee Kim Yew kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh yang mendakwa kempen ‘Malu Apa Bossku’ menyalahi ajaran Islam.

Dalam surat bertarikh 2 Mac 2022 itu, Kim Yew yang merupakan pengasas The Mines Resort and Country Heights Holdings menyatakan, apabila menyalahi ajaran Islam kempen ‘Malu Apa Bossku’ turut melanggarkan Perlembagaan Persekutuan.

Surat itu dikeluarkan beberapa hari sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berlangsung pada 11 Mac.

“Saya adalah ahli seumur hidup MCA yang menjadi sebahagian komponen Barisan Nasional dan saya berhasrat untuk membuat aduan terhadap kempen ‘Malu Apa Bossku’ yang mana ia menyalahi ajaran Islam.

“Apabila ia menyalahi ajaran Islam, ia juga mencabuli Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang menyatakan Islam adalah agama rasmi Persekutuan dan kempen itu secara jelas menunjukkan tidak hormat terhadap Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam di negara ini,” kata Kim Yew.

Surat pertama Lee Kim Yew kepada SPR

Ramai yang terkejut kerana sebagai orang yang bukan penganut Islam, Kim Yew boleh membuat dakwaan seperti itu terhadap kempen yang telah mempopularkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tidak sebut perincian kesalahan

Adakah sebagai seorang bukan Islam Kim Yew berhak untuk melemparkan dakwaan tersebut?

Dan yang lebih penting adakah tepat untuk Kim Yew mendakwa kempen ‘Malu Apa Bossku’ menyalahi ajaran agama Islam?

Dalam surat bertajuk ‘Hentikan kempen malu apa bossku dalam PRU’ Kim Yew tidak memperincikan perlanggaran-perlanggaran yang dilakukan oleh kempen berkenaan hingga beliau dakwa sebagai menyalahi ajaran Islam.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menunjukkan pelekat ‘Malu Apa Bossku’ semasa hadir ke Tesco sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di Tesco Seri Putri, Semenyih. foto SYAFIQ AMBAK, 23 FEBRUARI 2019

Sebaliknya, Kim Yew hanya menimbulkan isu mengenai Najib yang telah dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tetapi berkempen pada PRN Johor.

“Jika semua rakyat Malaysia belajar untuk jadi ‘tak malu’ seperti dia (Najib), jadi apa gunanya adakan pilihan raya? Apakah kriteria calon atau pemimpin yang Suruhajaya Pilihan Raya (SPR) bariskan untuk negara? Pemimpin yang tidak tahu malu?”

Orang bukan Islam tidak berhak cakap pasal Islam

Berbalik kepada soalan asal, wajarkah Kim Yew memberi pandangan bahawa ‘kempen Malu Apa Bossku’ menyalahi ajaran agama Islam?

Pensyarah Fiqh Fatwa, Pusat Kajian Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Izhar Ariff Mohd. Kashim berkata, orang bukan Islam tidak ada hak untuk bercakap tentang Islam.

Ini kerana golongan bukan Islam tidak tahu hukum hakam dan adab-adab yang terdapat dalam ajaran Islam.

“Jadi macam mana dia boleh mengatakan bahawa kempen Malu Apa Bossku seperti bercanggah dengan syariat Islam, sedangkan dia sendiri bukan Islam dan dia bukan orang yang tahu tentang hukum hakam.

“Jadi oleh yang demikian orang bukan Islam perlu menghormati ajaran Islam dengan sebaik mungkin jangan mengeluarkan sebarang kenyataan yang berunsur menyakiti hati orang Islam tambah-tambah orang Malaysia yang beragama Islam,” kata Dr. Mohd. Izhar Ariff ketika dihubungi.

Beliau menjelaskan hanya mufti di negeri-negeri berhak mengeluarkan fatwa mengenai sama ada sesuatu itu salah atau tidak dalam Islam.

Malahan mufti sebelum mengeluarkan sesuatu fatwa perlu meminta perkenan daripada sultan sebagai ketua agama di negeri masing-masing.

“Kita kena ingat perkara-perkara yang berkaitan dengan agama ia di bawah mufti-mufti dan perlu mendapat keizinan atau perkenan daripada sultan di negeri masing-masing.

“Oleh yang demikian mereka yang bukan Islam yang hendak bercakap tentang hukum-hakam tentang syariat itu adalah tidak boleh dan tidak layak kepada mereka untuk bercakap sedemikan,” katanya.

Serentak itu, Dr. Mohd. Izhar berkata, pandangan Kim Yew bahawa kempen ‘Malu Apa Bossku’ menyalahi ajaran agama Islam adalah tidak sah dan tidak boleh digunakan oleh orang Islam.

Kempen ‘Malu Apa Bossku’ hanya bersifat politik

Menurut Dr. Mohd. Izhar daripada pandangannya, kempen ‘Malu Apa Bossku’ yang digerakkan oleh rakyat yang bersimpati terhadap Najib hanyalah bersifat politik dan tidak menyalahi Islam.

Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi calon Barisan Nasional (BN) N.14 Bukit Naning, Datuk Mohd Fuad Tukirin (dua kanan) dan calon Barisan Nasional (BN) N.12 Bentayan, Gan Q’i Ru (kanan) beramah mesra dengan penduduk cina bagi meraih undi ketika sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Medan Selera 568, Muar, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 09 MAC 2022.

Tambahnya, sehingga kini tidak ada seorang pun mufti tampil memberi pandangan atau fatwa bahawa kempen ‘Malu Apa Bossku’ bercanggah dengan syariat Islam.

“Bagi saya kempen-kempen seperti malu apa bossku dan sebagainya tidaklah bercanggah dengan syariat Islam selagi mana tidak ada teguran daripada mufti-mufti.

“Oleh demikian saya melihat kempen-kempen seperti itu tidak salah dan ia bersifat politik sahaja. Atas dasar itu bagi saya tidak ada isu untuk dipertikai. Tidak ada pula teguran daripada mufti-mufti yang mengatakan perbuatan itu salah,” katanya.

Beliau berpandangan mufti juga tidak perlu mengeluarkan sebarang fatwa kerana kempen Malu Apa Bossku hanya bersifat politik semata-mata.

“Dalam hal ini saya percaya kempen-kempen yang dilakukan oleh orang Islam seperti malu apa bossku dan sebagainya, mereka tahu yang mana boleh, yang mana tidak boleh.

“Yang mana halal dan mana haram. Orang Islam kita pada hari ini sangat peka dan tahu mengenai isu sensitiviti,” katanya.

Surat kedua Kim Yew

Surat bertarikh 2 Mac 2022 itu bukanlah satu-satunya surat Kim Yew kepada SPR. Beberapa hari lalu media melaporkan taikun hartanah itu menulis surat kedua kepada suruhanjaya itu.

Surat kedua Lee Kim Yew

Kandungan surat itu antara lain berkata, kempen ‘Malu Apa Bossku’ seperti ‘senjata biokimia’ selain menggambarkan ia sebagai virus korona menjangkiti minda anak muda dan orang tua.

“Rasa malu adalah elemen asas dalam moral kita, namun bagi yang tidak ada rasa malu ia adalah penghinaan paling teruk yang mencemarkan kepercayaan manusia.

“Tindakan mempromosikan kempen ‘Malu Apa Bossku’ atau menguar-uarkan secara terbuka adalah satu bentuk penghinaan kepada masyarakat kita,” katanya.

Nampaknya Kim Yew betul-betul geram dan marah dengan kempen ‘Malu Apa Bossku’.

Mungkinkah beliau akan tulis surat ketiga kepada SPR jika surat pertama dan kedua itu tidak mendatangkan kesan seperti yang diharapkan?-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast