Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk membeli juadah berbuka puasa ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette selepas Malaysia beralih ke fasa endemik di sekitar Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 03 APRIL 2022

KUALA LUMPUR – Bazar Ramadan Kampung Baru, di sini, kembali ‘hidup’ setelah kerajaan mengumumkan fasa peralihan ke endemik pada 1 April lalu.

Sambutan bazar Ramadan tahun ini ternyata berbeza daripada dua tahun sebelumnya yang dahulunya tidak dibenarkan, kini beroperasi seperti sedia kala.

Tinjauan MalaysiaGazette di Bazar Ramadhan Kampung Baru mendapati, orang ramai tidak melepaskan peluang mengunjungi bazar di sini, hari ini.

Peniaga aneka kuih-muih, Rizal Osman ketika bercakap kepada MalaysiaGazette dalam tinjauan hari pertama di Bazar Ramadan Kampung Baru, Kuala Lumpur, hari ini.

Seorang peniaga kuih-muih, Rizal Osman, 49, menzahirkan kesyukuran selepas kembali berniaga setelah lebih dua tahun ‘gulung tikar’ akibat pandemik Covid-19.

“Alhamdulillah, selepas hampir tiga tahun rasa sangat teruja untuk berniaga setelah kita hidup dalam pandemik selama ini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, hari ini.

Menurut Rizal yang menjual tepung pelita dan bomboloni pelbagai perisa menjelaskan, walaupun baru hari pertama berniaga, sambutan yang diterima daripada pelanggan amat menggalakkan.

“Sambutan hari pertama ini sangat menggalakkan, boleh tengok keadaan yang penuh dengan orang ramai.

“Sekarang baru jam 6.30 petang tapi kebanyakan penjual sudah habis berniaga,” ulasnya.

Tambahnya, beliau berharap bekas Perdana Menteri terdahulu untuk singgah sekali lagi di gerai bazarnya seperti tahun-tahun sebelum ini.

“Memang banyak tokoh besar singgah sini, antaranya siapa tak kenal Perdana Menteri kita sebelum ni, Tun Dr. Mahathir yang acapkali akan turun ke sini,” ujarnya.

Katanya lagi, harapan untuk tahun ini adalah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk singgah ke gerai bazarnya.

“Najib setiap tahun pasti singgah bazar sini dan gerai saya. Najib belum pernah lagi tak singgah macam Mahathir, memang setiap tahun akan turun sini.

Of course (sudah tentu) saya berharap tahun ini Najib turun sini lagi, bossku!”, ulasnya.

Dalam pada itu, beliau juga berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri turun meninjau keadaan peniaga bazar di sini.

“Datuk Seri Ismail Sabri, tolong tengok keadaan dekat sini macam mana,” katanya.

Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim memaklumkan sebanyak 72 lokasi bazar Ramadan membabitkan 5,000 gerai akan beroperasi di sekitar ibu kota sepanjang bulan Ramadan ini. – MalaysiaGazette