Tun Ahmad Fuzi menyampaikan sijil penyertaan Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia kepada pelajar.

PULAU PINANG – Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia (JPKM), iaitu inisiatif program Perdana Menteri, telah membuka peluang kepada akses pendidikan tinggi negara untuk seluruh masyarakat terutama di kawasan pedalaman atau luar bandar.

Pengerusi Jawatankuasa Induk JPKM, Prof. Emeritus Tan Sri Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, sekretariat program itu akan menjelajah ke seluruh negara bagi mencari, mengenal dan membantu sasaran seramai 50,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2016 hingga 2021.

Katanya, jumlah itu yang disasarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memberi peluang kedua anak Keluarga Malaysia yang kurang berkemampuan dari segi kewangan.

Tun Ahmad Fuzi bersama penganjur dan peserta Program Jelajah Pendidikan Keluarga Malaysia.

Katanya, perasmian program yang dianjurkan Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) itu telah disempurnakan Yang di-Pertua Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Beliau berbesar hati dan berasa terharu dengan kehadiran Tuan Yang Terutama merasmikan JPKM peringkat negeri Pulau Pinang.

“Tuan Yang Terutama selalu berpesan kepada saya untuk memastikan tiada seorang pun anak-anak Pulau Pinang tercicir dari mendapat akses pendidikan tinggi,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Datuk Mohd Aizuddin Ghazali berkata, keprihatinan Tun Ahmad Fuzi turun padang dan merasmikan program itu menunjukkan keprihatinannya dalam soal pendidikan anak Pulau Pinang.

Kata beliau, JPKM telah memberi sumbangan besar kepada rakyat khususnya golongan pelajar tercicir dan kurang berkemampuan untuk diberi peluang kedua melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi.

“PRIHATIN berharap pelajar lepasan SPM dan STPM tahun 2016 hingga 2021 yang kurang bernasib baik dan kurang berkemampuan tidak melepaskan peluang untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Selain itu, Skim Bantuan Pendidikan turut disediakan kepada mereka yang layak hasil sumbangan daripada agensi kerajaan dan badan korporat,” katanya.

Kata Mohd Aizuddin, JPKM dilihat mampu memberi manfaat dan menyediakan peluang kedua serta memberi akses kepada pelajar yang berada di kawasan pedalaman dan luar bandar untuk melanjutkan pengajian ke menara gading. – MalaysiaGazette