KUALA LUMPUR – Indeks nilai seunit eksport dan import negara masing-masing meningkat 2.1 peratus dan 1.3 peratus pada Februari 2022 berbanding bulan sebelumnya.

Peningkatan ini disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak galian (+8.0), minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (+2.2%), dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+0.7%).

Sementara itu, indeks volum eksport menyusut 9.8 peratus pada bulan yang sama, disumbangkan oleh kejatuhan indeks barang-barang keluaran
kilang (-14.9%), alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-12.2%) dan pelbagai barang keluaran kilang (-10.9%). Indeks volum eksport pelarasan bermusim bertumbuh 2.8 peratus daripada 155.6 mata kepada 160.0 mata.

Berdasarkan perbandingan tahunan, kedua-dua indeks nilai seunit dan volum eksport masing-masing berkembang 16.4 peratus dan 0.3 peratus.”

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks nilai seunit import pula meningkat 1.3 peratus pada Februari 2022 berbanding bulan sebelum, disumbangkan oleh indeks minyak galian (+9.0%), minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (+1.2%) dan bahan kimia (+0.2%).

Manakala, indeks volum import menyusut 12.0 peratus pada Februari 2022 berbanding bulan sebelum, disumbangkan oleh kejatuhan barang-barang keluaran kilang (-16.3%), alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-13.1%) dan bahan kimia (-10.4%). Indeks volum import pelarasan bermusim pada Februari 2022 meningkat 0.4 peratus daripada 169.7 mata kepada 170.3 mata.

Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan kedua-dua indeks nilai seunit dan volum import masing-masing berkembang 7.5 peratus dan 10.1 peratus.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) turut melaporkan terma perdagangan Malaysia meningkat 0.8 peratus bulan ke bulan kepada 109.9 mata pada Februari 2022.

Perbandingan tahun ke tahun prestasi terma perdagangan Malaysia menunjukkan pertumbuhan positif 8.3 peratus daripada 101.5 mata pada Februari tahun lalu. – MalaysiaGazette