Kredit Facebook Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menganggap kejayaan enam pelajar Malaysia melanjutkan pengajian ke Harvard College, Amerika Syarikat sebagai satu pencapaian membanggakan buat negara.

Mengucapkan tahniah kepada semua bakal pelajar peringkat ijazah Sarjana Muda Universiti Harvard itu, perdana menteri turut mendoakan agar mereka beroleh kecemerlangan dalam bidang yang diceburi.

“Anda adalah kebanggaan Keluarga Malaysia,” katanya dalam catatan melalui akaun Facebooknya hari ini.

Keenam-enam pelajar itu ialah Chooi Je Qin dari Johor; Herman Leong Xin Yang dan Ishant Shah dari Pulau Pinang; Carisma Michaela Wong dari Sabah; Lee Ee Jenn dari Kuala Lumpur dan Alyssa Yap Xin Yi dari Sarawak.

Kesemua pelajar berkenaan akan menamatkan pengajian di Harvard pada 2026.

Seorang daripada penemuduga Alumni Harvard College untuk Malaysia, Wan Nadiah Wan Mohd Abdullah Yaakob dalam satu kenyataan berkata bilangan pelajar Malaysia yang diterima menuntut di institusi pengajian itu kali ini adalah yang paling tinggi dalam sejarah negara.

Menurutnya, mereka dipilih daripada 61,220 pemohon dengan kadar pengambilan pelajar bagi kelas 2026 adalah yang terendah dalam sejarah Harvard iaitu 3.19 peratus.

— BERNAMA