Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berterima kasih kepada Ismail Sabri.

SAYA melihat satu video yang dimuat turun seorang individu bernama Zamil Ibrahim atau dikenali di Kedah sebagai “Zamil parti KITA”, walau kita tidak tahu kesahihannya dan seperti status “Datuk” yang digunakannya itu Majlis Perajaan Negeri mana.

Dalam video berkenaan, beliau cuba membuat tuduhan secara jelas…

“Saya ingin bertanya kepada Ismail Sabri. Saya bukan nak buat tuduhan. Saya ingin minta penjelasan sahaja. Apakah benar yang ada ura-ura untuk Ismail Sabri serah kembali jawatan Perdana Menteri kepada tauke beliau iaitu Muhyiddin Yasin pada bulan April ini. Saya harap ini tidak benar sama sekali.

Jawapan saya:

Jelas dalam ayat pertamanya itu, Zamil cuba mencipta satu persepsi jahat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (DSIS), tetapi berselindung di sebalik perkataan “Saya ingin bertanya dan bukan membuat tuduhan atau saya ingin minta penjelasan” untuk mengelak dari tindakan perundangan. Tetapi dalam para ini, Zamil dengan jelas merujuk bahawa Muhyiddin sebagai “Tauke” kepada DSIS.

Apakah niat jahat Zamil? Apakah tujuan beliau menuduh DSIS seolah budak suruhan atau seorang Perdana Menteri yang tunduk kepada Muhyiddin Yassin?

Sesiapa yang mengenali DSIS atau orang UMNO pasti tidak boleh menerima fitnah dan tuduhan jahat ini kerana Ismail Sabri adalah seorang yang amat setia kepada parti dan institusi.

Kata Zamil lagi, “Saya difahamkan bahawa tindakan untuk serah jawatan PM kepada Muhyiddin dibuat supaya kuasa untuk bubar Parlimen tidak lagi terletak di tangan Ismail Sabri. Maka UMNO tidak boleh paksa Ismail Sabri untuk bubar Parlimen. Ismail Sabri dikatakan akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Maka, sebab itu jawatan Timbalan Perdana Menteri sengaja dikosongkan dan maka sebab itu juga RUU Anti Lompat Parti juga disabotaj.

Jawapan saya:

Apa yang diutarakan oleh Zamil sebagai persepsi ini amat jelas tidak ada asasnya kerana tidak ada sumber yang dirujuk, selain pautan kenyataan Muhyiddin selepas majlis berbuka puasa dua hari lepas.

Muhyiddin menyatakan keperluan untuk Perdana Menteri merujuk atau berbincang dengan PN berkaitan pembubaran Parlimen dan melibatkan beberapa parti lain dalam PN.

Tidak timbul soal menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Muhyiddin kononnya untuk tidak meletakkan beban bagi membubarkan Parlimen di atas bahu DSIS agar UMNO tidak lagi boleh mendesaknya.

Ini merupakan satu lagi persepsi jahat yang cuba diwujudkan oleh Zamil tanpa ada sumber yang jelas. Ianya hanya satu tuduhan liar dan berniat jahat.

Apakah DSIS dengan semudah itu untuk bermain dengan lantikan yang telah diperkenan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja, di mana tugas berat beliau memastikan negara aman dan stabil dalam politik dan ekonomi sehingga mahu menyerahkan jawatan Perdana Menteri sesuka hati?

Seperkara lagi, dalam soal pembubaran Parlimen ini telah dijelaskan di hadapan ribuan perwakilan dan jutaan ahli UMNO yang mengikuti ucapan penggulungan beliau bahawa “Top 5” akan membuat keputusan dan cadangan kepada Perdana Menteri dalam perkara ini.

Dan sebenarnya dalam situasi yang kita sedia maklum, soal pembubaran Parlimen ini harus dibawa dalam mesyuarat kabinet, bukan mesyuarat parti, kerana kabinet hanya boleh bersetuju dengan cadangan tarikh, tetapi kuasa penentu ialah perkenan Tuanku Yang di-Pertuan Agong. Istilah parti dan kerajaan harus jelas di situ.

RUU Anti Lompat Parti tidak disabotaj, tetapi semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang bersetuju RUU itu diperhalusi dan dibincangkan secara terperinci sebelum dijadikan akta dan sebahagian perlembagaan. Zamil bukan Ahli Parlimen dan Zamil dengan jelas mencerminkan kenaifan beliau berkaitan apa yang berlaku dalam Parlimen, tetapi cuba mencipta persepsi. Ini merupakan tindakan seorang yang secara tidak sedar mengakui kebodohan dan tahap pemikiran yang amat dangkal.

“Apakah ini satu muslihat politik supaya PRU15 akan dibuat selepas Najib dan Zahid dijatuh hukuman mahkamah dan selepas pemilihan parti UMNO, di mana Ismail Sabri akan ditabal sebagai Presiden UMNO.

Jawapan saya:

Ini merupakan tuduhan berat dan amat jahat yang jelas sebagai fitnah terbuka Zamil terhadap DSIS.

Cubaan mencipta persepsi seolah DSIS sedang mencampuri perjalanan perbicaraan dan membuat satu persepsi seolah Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memang telah bersalah dalam kes yang sedang berjalan.

Ini merupakan modus operandi Zamil agar kepimpinan UMNO bertelagah sesama sendiri dan terfikir saya untuk juga bertanya dan bukan menuduh atau memohon penjelasan Zamil apakah Zamil sedang dibela dan mendapat bayaran dari pihak yang mahu UMNO jatuh dan berpecah? Pihak mana tu?

Mana mungkin Zamil dengan jelas sedang menabalkan DSIS sebagai Presiden UMNO, walhal tidak seorang pun dari ahli UMNO tahu bila tarikh pemilihan parti dan tidak seorang pun tahu bilakah tarikh PRU15. Ini jelas Zamil cuba mencipta satu persepsi jahat kepada kepimpinan UMNO dan Perdana Menteri tanpa apa-apa asas.

“Saya dengan ini meminta Ismail Sabri beri penjelasan tentang perkara ini secepat mungkin. Ahli-ahli UMNO sedang menunggu penjelasan dari Ismail Sabri sebab mereka ingin tahu sejauh mana Ismail Sabri sanggup mengkhianati parti UMNO dan sekongkol dengan Muhyiddin. Tun Dr. Mahathir Mohamad pun akui Muhyiddin pakar dalam ilmu tikam belakang.

“Sekali lagi saya ingin mengatakan, ini bukan satu tuduhan, tetapi satu permohonan untuk penjelasan. Ini sudah jadi satu tanda tanya oleh ramai ahli UMNO dari akar umbi sebab mereka sudah mula curigai tentang hubungan rapat antara Ismail Sabri dengan Muhyiddin. Ahli UMNO amat khuatir jikalau Ismail Sabri termakan hasutan Muhyiddin dan tikam UMNO dari belakang.

Jawapan saya:

Saya rangkulkan jawapan dua para yang dinyatakan Zamil.

Sekali lagi Zamil menegaskan, bukan tuduhan dan meminta penjelasan untuk beliau mengelak dari disiasat atau disaman dengan berselindung di sebalik perkataan “Bukan membuat tuduhan, tetapi memohon penjelasan”.

Menggunakan istilah “ahli UMNO” merupakan satu taktik untuk menarik perhatian ahli UMNO untuk termakan dengan dakyah dan fitnah yang cuba dilakukan oleh Zamil. Itu merupakan cara dan taktik lama Zamil sepertimana beliau pernah mengajak seluruh ahli UMNO dan rakyat mepercayai setiap hujah beliau ketika menyerang Najib dan UMNO sebelum ini.

Menggunakan istilah pengkhianat kepada parti dan bersekongkol dengan Muhyiddin merupakan fitnah terjahat yang Zamil cuba lakukan terhadap DSIS. Ini menunjukkan betapa jelas ianya satu fitnah. Ahli UMNO mana yang Zamil wakili?

Dalam para lima, sekali lagi Zamil mengulangi beliau memohon penjelasan untuk mengelak dari disaman atau berdepan tindakan perundangan.

Dalam soal tuduhan bahawa hubungan rapat DSIS dengan Muhyiddin jelas Zamil tidak mengenali DSIS, kerana bukan hanya dengan Muhyiddin, tetapi dengan semua pemimpin pelbagai parti mempunyai hubungan rapat dengannya. Inilah kelebihan Perdana Menteri sekarang demi menstabilkan politik negara.

DSIS mempunyai hubungan baik dan rapat dengan semua kepimpinan pelbagai parti dan ianya boleh dilihat dalam majlis berbuka puasa seluruh Ahli-ahli Parlimen dua hari lepas dan tidak dilakukan oleh mana-mana Perdana Menteri sebelum ini.

DSIS merupakan Perdana Menteri yang diterima oleh semua Ahli Parlimen tanpa mengira perbezaan fahaman kepartian. Belum ada dalam sejarah pemerintahan negara seorang Perdana Menteri mampu menyatukan semua parti dalam agenda menyelamatkan rakyat dari pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi rakyat.

Belum ada dalam sejarah Parlimen Malaysia di mana Ahli-ahli Parlimen mendapat peruntukan sama rata untuk kepentingan rakyat di setiap Parlimen yang diwakili.

Itulah watak dan keperibadian Perdana Menteri DSIS hari ini yang berusaha dan bekerja keras demi rakyat dan rakyat menerima kepimpinannya ketika ini apabila BN menang bergaya dalam PRN tiga negeri iaitu Sarawak, Melaka dan Johor.

Ini merupakan pencapaian dan manifestasi yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa bahawa rakyat selesa dan menerima cara dan pembawaan agenda “Keluarga Malaysia” yang diilhamkan sendiri oleh DSIS.

Saya berharap ahli UMNO dan seluruh rakyat menolak fitnah dan dakyah yang cuba dilakukan oleh Zamil untuk menghancurkan kestabilan politik yang telah kita kecapi hari ini dalam era endemik ini. – MalaysiaGazette

Wan Khairul Ihsan

Penulis, Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad adalah pemerhati dan penganalisis politik serta aktivis NGO.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast