Majlis pelancaran Kempen Kid’s Safe Travel disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri (dua dari kiri) semalam.

KUALA LUMPUR – Penganjuran Kempen Kid’s Safe Travel bertujuan untuk memupuk budaya pencegahan agar pergerakan industri pelancongan lebih selamat dan terkawal selepas negara memasuki Fasa Peralihan Endemik bermula 1 April lalu.

Penganjur kempen, Dr Nur Shasa Ain Tan Sri Abdul Aziz berkata, objektif kempen itu juga bagi menggalakkan ibu bapa membawa anak mereka keluar dan mengelakkan daripada terus berkurung di rumah.

Menurut beliau yang merupakan Pengasas Ola & Oli Sdn. Bhd. dan Jom Kembara Utan, sebagai seorang wanita yang turut bergelar ibu, dia memahami perasaan sesetengah ibu bapa yang masih lagi paranoid untuk membawa anak mereka keluar kerana bimbang dijangkiti wabak Covid-19 apabila bertemu orang ramai.

“Objektif kami memperkenalkan Kids’ Safe Travel adalah untuk menggalakkan ibu bapa membawa anak mereka keluar rumah serta menjalani kehidupan normal seperti sebelum zaman pandemik bagi menguatkan lagi institusi Keluarga Malaysia dan kembali memeriahkan sektor pelancongan negara.

“Bukan untuk mengembara semata-mata, makanan tambahan itu juga sesuai untuk diambil ketika keluar bersiar-siar dihujung minggu, atau pulang ke kampung untuk berhari raya dan ianya juga boleh diambil bagi kanak-kanak yang sudah pun ke sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Kempen Kid’s Safe Travel oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri semalam.

Dr Nur Shasa Ain Tan Sri Abdul Aziz (dua dari kanan).

Sementara itu Dr Nur Shasa Ain yang juga merupakan seorang pakar audiologi berkata, bagi memastikan ibu bapa dapat membawa anak mereka keluar dengan selamat beliau memperkenalkan makanan tambahan yang diperbuat daripada malt coklat keluaran syarikatnya, Ola & Oli.

Dr Shasa juga berkata, formulasi produk SupeOla Immu B+ itu dibuat bersesuaian dengan selera kanak-kanak yang tidak menggemari produk makananan yang berperisa buah-buahan.

“Idea untuk menghasilkan produk makanan tambahan ini tercetus ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di atas hasil kajian saya terhadap Covid-19 dan masalah pendengaran. Jadi salah satu cara untuk mencegah virus inimenjadi lebih teruk adalah meningkatkan sistem imunisasi anak melalui makanan tambahan.

“Selain daripada memperkenalkan produk kami, kempen ini juga bertujuan untuk mempromosikan melancong dan mengembara dengan selamat melalui kempen Kids’ Safe Travel.

“Di mana, kita masih boleh membawa anak-anak keluar tetapi haruslah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dan dalam masa yang sama dapat menguatkan lagi sistem imunisasi mereka dengan makanan tambahan,” katanya. – MalaysiaGazette