Borhan Ahmad Zakaria

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) tampil menjelaskan kemelut yang melanda dalam kepimpinan parti itu di Melaka, yang didakwa sesetengah pihak sebagai lumpuh dan terbubar.

Setiausahanya, Borhan Ahmad Zakaria memberitahu, selepas selesai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, mesyuarat Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra memutuskan untuk membuat penyusunan semula kepimpinan parti di negeri itu supaya lebih kuat dan mantap.

Kata beliau, dalam keputusan mesyuarat itu, ADT mengambil kira beberapa faktor seperti kepimpinan sedia ada yang dilihat agak lemah dan wujud hal berkaitan dengan integriti.

“Tiba-tiba keluar kenyataan daripada bekas Pengerusi Badan Perhubungan Putra Melaka, Mohd Aluwi Sari kononnya Putra Melaka sudah dibubarkan dan lumpuh kerana ratusan ahli sudah keluar parti.

“Dakwaan itu tidak benar sama sekali. Itu adalah fitnah. Yang nak rombak Perhubungan Putra Melaka adalah keputusan mesyuarat ADT pusat, bukan Mohd Aluwi yang bubar.

“Dipusingnya cerita dalam media dan media sosial sehingga nampak Putra Melaka sudah tidak ada lagi. Patutlah kepimpinannya kurang prestasi,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Semalam, media melaporkan Putra Melaka lumpuh apabila empat ketua bahagian di negeri itu bersama 500 ahli mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.

Ia diketuai Mohd Aluwi selaku bekas Ketua Putra Bahagian Hang Tuah Jaya, Prof. Dr. Mohd. Aluwi Sari, diikuti Bahagian Jasin, Kota Melaka dan Masjid Tanah.

Menurut Borhan, ADT Putra akan melantik tokoh baru bagi memimpin Putra Melaka pada mesyuarat akan datang selepas Hari Raya Aidilfitri

Katanya, Putra Melaka mempunyai enam bahagian dan tiga daripadanya telah disahkan oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS).

Sementara itu, Ketua Wira Putra Melaka, Mohamad Hashidi Mohd Zin menafikan laporan kenyataan Mohd Aluwi dan menjelaskan, masih ada lagi ahli serta Ahli Jawatankuasa Putra di beberapa bahagian di negeri itu.

Mohamad Hashidi Mohd Zin

Katanya, mereka ini terus istiqomah dalam perjuangan Putra dengan penuh keikhlasan.

Beliau yang juga Ketua Putra Bahagian Tangga Batu berkata, keputusan keluar parti oleh beberapa orang tersebut adalah bersifat peribadi.

“Jawatankuasa Putra Bahagian Tangga Batu telah mengadakan mesyuarat khas malam tadi dan telah sebulat suara akan kekal bersama Putra serta tidak seorang pun yang berniat ingin keluar parti.

“Apa yang penting sekarang adalah fokus untuk berkhidmat dan berbakti serta terus berdiri dalam perjuangan demi masyarakat setempat dan rakyat Melaka keseluruhannya.

“Beliau turut mengalukan-alukan kehadiran bagi mereka yang ingin berjuang dengan sebenarnya dan tidak menghalang mana-mana pemimpin atau ahli yang tidak minat dalam perjuangan untuk keluar parti,” katanya.

Laila Norinda Maon

Ketua Wiranita Melaka, Laila Norinda Maon turut menyatakan Putra Bahagian Alor Gajah akan kekal bersama parti itu dan tiada seorang pun bertindak keluar.

Beliau yang juga ketua bahagian itu tetap utuh dengan pendirian bersama Putra Melaka dan kepimpinan pusat.

“Kami tidak menyokong cara dan perihal serta kenyataan media yang dikeluarkan oleh bekas Pengerusi Badan Perhubungan Putra Melaka (Mohd Aluwi) dan beberapa individu tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette