Datuk Dr. Mazlan Abd Ghaffar

KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini mengumumkan perlantikan semula Profesor Datuk Dr. Mazlan Abd Ghaffar sebagai naib canselornya.

Dalam satu kenyataan, UMT berkata, pengalaman dan kepakaran Dr. Mazlan masih diperlukan oleh universiti itu.

“Beliau mempunyai latar belakang pendidikan berkaitan bidang sains perikanan seiring dengan bidang keutamaan penyelidikan UMT yang bertunjangkan ilmu kelautan dan sumber akuatik.

“Selain itu, Profesor Datuk Dr. Mazlan berpengalaman luas dalam bidang penyelidikan dan inovasi yang mana portfolio yang disandang beliau ketika menjawat jawatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) di universiti sama,” kata UMT hari ini.

Dr. Mazlan penah dilantik ke jawatan sama pada 2 Ogos 2021 oleh Menteri Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan pernah menjawat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi).

Beliau dilantik semula bagi tempoh setahun berkuatkuasa 18 April 2022 hingga 17 April 2023.

Antara pencapaian terbaik beliau ialah mendapat pengiktirafan Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (AKUATROP), UMT sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE) bagi Teras Penyelidikan dan Inovasi dan mengetuai projek khas Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS) hasil kerjasama dengan beberapa buah universiti awam iaitu Ocean Climate Change: Potential Risk, Impact and Adaptation Towards Marine and Coastal Ecosystem Services in Malaysia serta mewujudkan kaedah penjanaan dana universiti melalui pengkomersilan harta intelek.

Dr. Mazlan turut menyumbang khidmat beliau di peringkat antarabangsa antaranya menganggotai beberapa pertubuhan antarabangsa seperti Ichthyological Society of Japan, Marine Biology Association of United Kingdom, Asean Fisheries Society dan Taiwan Oceanography Society.

Dalam pada itu, Dr. Mazlan akan meneruskan agenda memperkasakan bidang tujahan utama UMT iaitu sains marin serta berusaha meletakkan UMT sebagai sebuah universiti berfokus yang cemerlang.

‚ÄúTerima kasih kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk terus menerajui UMT,” katanya.

Untuk rekod, Dr. Mazlan merupakan Naib Canselor UMT ke-6, manakala Naib Canselor pertama bermula tahun 2001 di bawah nama Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (KUSTEM). – MalaysiaGazette