Kon Yeow (dua dari kanan) menyampaikan bantuan khas kepada mangsa kebakaran di Kampung Kuala Muda, Penaga, Pulau Pinang hari ini.

PENAGA – Empat keluarga yang kehilangan tempat tinggal selepas kediaman mereka hangus dijilat api di Kampung Kuala Muda di sini, menerima bantuan khas daripada kerajaan Pulau Pinang hari ini.

Masing-masing menerima RM2,000 yang disampaikan sendiri oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow susulan kesemua keluarga tersebut tinggal sehelai sepinggang akibat rumah mereka hangus dijilat api pada 14 April lalu.

Kon Yeow berkata, pihaknya telah mengarahkan Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah, Zulkifli Rashid dan Penghulu Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Penaga, Khairul Fadzli Rosli untuk menyegerakan proses penyaluran sumbangan kewangan daripada Tabung Tuan Yang Terutama negeri serta bantuan lain.

Turut disampaikan bantuan kerusi roda kepada warga emas yang juga mangsa kebakaran.

“Mangsa kebakaran kini berdepan isu membina semula rumah di atas tanah bukan milik mereka sekali gus memerlukan persetujuan daripada tuan tanah.

“Jadi, isu ini telah diambil maklum oleh pegawai daerah serta penghulu termasuk mencari jalan penyelesaian dengan menempatkan mereka di tanah milik kerajaan,” katanya ketika menyantuni kesemua mangsa kebakaran tersebut hari ini.

Pada majlis sama, Pegawai Penyelaras Khas kepada Ketua Menteri, Lay Hock Peng turut menyerahkan sumbangan kerusi roda kepada warga emas uzur yang juga mangsa kebakaran tersebut.

Media pada 14 April lalu melaporkan, sebanyak empat buah rumah penduduk musnah dalam kebakaran di Kampung Kuala Muda di sini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.49 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Peratusan kebakaran keseluruhan dianggarkan 80 peratus dan api berjaya dikawal pada jam 7.18 pagi.

“Kerja-kerja pengawalan dan pemadaman masih dijalankan dengan dibantu oleh pasukan bomba sukarela berdekatan. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya. – MalaysiaGazette