Foto FB Aliff Ahmad

KUALA LUMPUR – Lima aktivis #justiceforbella hari ini menghadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Che Puan Besar Khaleeda Bustamam berkaitan keadilan terhadap remaja Sindrom Down bernama Bella.

Dalam perkongsian oleh salah seorang aktivis, Aliff Ahmad di Facebooknya, pertemuan itu berlangsung selama sejam dan telah telah dimanfaat sebaik-baiknya bagi memperjuangkan nasib Bella yang mengalami penderaan fizikal dan emosi.

Menurut Aliff, Tunku Ismail telah memberi komitmen untuk membantu mendapatkan keadilan bukan sahaja untuk Bella tetapi lebih daripada itu.

Kumpulan aktivis itu menjunjung kasih dan merafak sembah kesyukuran kepada Allah kerana kedua-duanya mendengar suara rintahan rakyat berjuang untuk Bella.

“Aku sangka TMJ orangnya tegas dan garang, tetapi rupanya dia seorang pendengar yang baik dan humour. Pertemuan yang kami jangka formal menjadi sangat kasual dan menenangkan.

“Teringat pertemuan dengan menteri Rina Harun yang sangat hambar dan berakhir dengan rasa tidak puas hati dan membangkitkan rasa yang tidak menyenangkan terhadap kami.

“Walaupun TMJ ialah putera raja dari negeri Johor tetapi jiwa besarnya merentasi sempadan negeri dan bangsa. Sekurang-kurangnya kehadiran sokongan TMJ ini menyuburkan lagi semangat perjuangan kami,” katanya.

Kumpulan itu berterima kasih kepada Tunku Ismail dan isteri kerana usaha yang ambil oleh kedua-duanya.

“Semoga Allah merahmati usaha kalian berdua. Buat sahabat-sahabat yang sentiasa bersama kami, aku bagi “mini love” buat korang. Team awal #JusticeForBella, aku tau korang tak perlukan credit. Keikhlasan korang, tak pernah aku ragui.

“Korang kena ingat, hero sebenar dalam perjuangan ini bukan aku, bukan Kak Mona, bukan team #JusticeForBella, tetapi adik BELLA!Dek kerana dia berjaya survive-lah kita semua terbuka mata hati untuk sama-sama bangkit melawan kezaliman ini.
Betul tak?” katanya.

Bella yang sihat ketika diambil dari Jabatan Kebajikan Masyarakat oleh Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali ditemui dalam keadaan menyayat hati dengan kesan lecur dan cedera pada Julai 2021.

Siti Bainun, 30, sebelum itu mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia didakwa melakukan perbuatan di sebuah kondominium di Wangsa Maju, Kuala Lumpur antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast