Terence Naidu (kiri) didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan mengambil dadah.

BUKIT MERTAJAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Terence Naidu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badannya pada Januari lalu.

ADUN DAP, Perak berusia 54 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memberikan kepada diri sendiri dadah berbahaya jenis 3,4-methylenedioxymethamphetamine (MDMA) yang ditetapkan di Bahagian III dari Jadual Pertama, Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 beserta seorang penjamin.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Bukit Mertajam di sini jam 12.13 tengah malam pada 14 Januari lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan negeri, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim, manakala tertuduh diwakili peguam Ramkarpal Singh dan RSN Rayer.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 beserta seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes 17 Mei depan.

MalaysiaGazette pada 15 Januari lalu, melaporkan ADUN DAP di Perak, Terence Naidu mengaku beliau adalah wakil rakyat yang ditangkap polis semalam dan saringan air kencingnya positif dadah.

Artikel berkaitan:

Bagaimanapun dalam satu kenyataan, wakil rakyat Pasir Bedamar itu berkata, beliau telah memberi kenyataan beramaran kepada pihak polis tentang situasi sebenar yang membawa kepada penahanannya itu. 

Terence yang terkejut ketika dimaklumkan air kencingnya positif dadah memberitahu, beliau telah diundang oleh kliennya untuk perjumpaan dan makan Tahun Baru Cina di Pulau Pinang. – MalaysiaGazette