Suspek kes tetak isteri dan tiga ahli keluarganya Ahad lalu di Kuala Sedili dekat Kota Tinggi akhirnya berjaya diberkas.

JOHOR BAHRU – Suspek kes tetak isteri dan tiga ahli keluarganya  di Kuala Sedili dekat Kota Tinggi pada Ahad lalu akhirnya berjaya diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora mengesahkan perkara itu berkata, suspek merupakan seorang lelaki Melayu berumur 38 tahun dikesan di Jalan Persiaran Indahpura 4 di sini sebelum ditangkap.

“Suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine dalam saringan air kencing yang dijalankan ke atasnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suspek akan direman di bawah peruntukan undang-undang Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari bermula esok hingga Rabu depan di Mahkamah Majistret Kota Tinggi untuk membantu siasatan.

Kes yang disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman dengan penjara yang boleh sampai 20 tahun dan denda atau sebat.

Pada Isnin lalu,  suspek dikatakan telah menetak empat ahli keluarga dalam kejadian sebelum berbuka puasa di Kampung Sedili Kecil, Kuala Sedili.

Kejadian pada pukul 7.11 malam Khamis itu berlaku ketika empat beranak tersebut menunggu waktu berbuka puasa sebelum suspek dikatakan tiba-tiba mengamuk dan menetak ahli keluarganya menggunakan parang.

Suspek berasal dari Felda Air Tawar 3 dikatakan menetak isterinya berusia 30-an dan ibu mentua berusia 50-an serta dua adik iparnya masing-masing seorang lelaki berusia 16 tahun dan perempuan berusia 30-an.

Bagaimanapun, dua anak suspek berusia lima dan dua bulan selamat dalam kejadian.-MalaysiaGazette