Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit stabil berbanding dolar US pada minggu hadapan berikutan jangkaan Rizab Persekutuan AS yang akan memasuki tempoh “pendam” menjelang mesyuarat dua hari bermula 3 Mei depan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pegawai rizab akan mengelak daripada membuat sebarang komen mengenai dasar monetari dan ini akan memberi sokongan kepada mata wang tempatan.

“Kami juga mempertimbangkan kemungkinan beberapa bentuk pembetulan akan berlaku pada minggu berkenaan selepas petunjuk teknikal menonjolkan bahawa ringgit berada dalam kedudukan terlebih jual, mencerminkan kemungkinan besar akan berlaku proses pembetulan,” katanya kepada Bernama.

Mengulas lanjut mengenai trend minggu depan, beliau berkata, paras rintangan dan sokongan masing-masing berada pada RM4.34 dan RM4.228.

“Saya rasa ia akan memecut pada tahap tersebut dan prestasi ringgit menjadi sangat tidak menentu buat masa sekarang,” katanya.

Sementara itu, rakan kongsi SPI Asset Management Stephen Innes percaya apabila China mengenakan satu lagi sekatan pergerakan dan ketiadaan sebarang petunjuk kepada pengakhiran sekatan ini di China serta kekurangan pelonggaran dasar oleh People’s Bank of China, ringgit akan terus lemah seiring dengan yuan.

“Saya berpendapat ringgit akan diniagakan sekitar 4.3165 hingga 4.3475 berbanding dolar US minggu hadapan,” katanya.

Dari minggu ke minggu, ringgit adalah lebih rendah berbanding dolar US pada 4.3230/3270 yang direkodkan semasa Jumaat berbanding 4.2330/2380 dalam minggu sebelumnya.

Ringgit merosot mencecah paras 4.30 berbanding dolar US pada Jumaat, paras kali terakhir yang pernah disaksikan semasa Jun 2020.

Daripada segi prestasi dari tahun ke tarikh, mata wang tempatan itu telah menyusut 2.75 peratus, mencerminkan sentimen global yang lemah dan seiring dengan yuan China.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama dari Jumaat ke Jumaat.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1633/1667 daripada 3.1198/1242 yang dicatatkan pada minggu sebelumnya, melemah berbanding yen Jepun kepada 3.3652/3686 daripada 3.3465/3510.

Kekuatan mata wang tempatan itu turut jatuh berbanding pound Britain kepada 5.5641/5693 daripada 5.5308/5374 dan berkurangan berbanding euro kepada 4.6710/6753 daripada 4.5776/5830 sebelum ini. – MalaysiaGazette