Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR – Bagi melonjakkan potensi pelaburan langsung domestik (DDI), kerajaan akan terus komited memperbaiki kualiti perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ia khususnya memperkasakan Pusat Sehenti (OSC) PBT 3.0
kepada OSC 3.0 Plus agar sentiasa efisien, cepat dan telus, kata Perdana Menteri.

“OSC 3.0 Plus adalah prosedur lengkap dan seragam berdasarkan undang-undang semasa bagi mengawalselia dan memudahcara proses pemajuan di kawasan PBT sehingga bangunan layak diduduki menggunakan aplikasi digital sepenuhnya di semua 98 PBT di Semenanjung Malaysia.

“Penambahbaikan tersebut melalui pengenalan Sistem OSC 3.0 Plus Online dengan penekanan kepada aspek teach in, pengurusan aduan dan sesi libat urus pemegang taruh termasuk membangun mekanisme pusat sehenti pelesenan secara digital.

“Proses pemulihan ekonomi negara kini berada pada momentum terbaik. Kerajaan komited untuk memastikan DDI terus dirangsang dengan mengambil pendekatan mempermudahkan urusan para pemain industri.

“Kerajaan sentiasa mendengar cadangan daripada semua pihak untuk kesejahteraan Keluarga Malaysia,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan hari ini.

Justeru, katanya, kerajaan akan memperhalusi cadangan yang dikemukakan oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) khususnya dalam memperkasakan DDI.

Antara cadangan tersebut, menurutnya, termasuklah melaksana kajian berkaitan inisiatif bagi mengurangkan 50 peratus kekangan birokrasi.

Melakukan penyatuan dan penyelarasan insentif pelaburan; merekayasa proses pengurusan buruh asing serta menyediakan pelan tindakan untuk mengembang rangkaian perusahaan kecil dan sederhana dengan pelaburan langsung asing. -MalaysiaGazette