Orang ramai mengambil kesempatan meluangkan masa bersama keluarga untuk berbuka puasa di Dataran Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 17 APRIL 2022.

RAMADAN adalah bulan yang penuh dengan keberkatan. Ia adalah sebuah anugerah daripada Allah SWT kepada umat Islam untuk mereka berusaha mendekatkan diri kepada-NYA dan meraih pahala yang berlipat kali ganda berbanding bulan lain.Keberkatan bulan Ramadan juga secara tidak langsung memberikan manfaat kesihatan kepada manusia. Kesihatan yang dimaksudkan bukanlah sekadar di sudut fizikal semata-mata. Bahkan, ia mejangkaui kepada kesihatan emosi, akal dan spiritual.

Pelbagai kajian yang telah dijalankan untuk mengukur keberkesanan amalan puasa kepada kesihatan fizikal. Antara kebaikan di sudut kesihatan fizikal ialah badan akan mengalami proses detosifikasi atau nyahtoksin. Puasa akan merangsang perubahan metabolisme badan, pembaikan sel-sel sekaligus membantu untuk menyucikan dan menyingkirkan bahan toksin dalam badan. Manakala, dalam satu persidangan antarabangsa pada tahun 1994 berkaitan “Kesihatan dan Ramadan”, telah dibentangkan beberapa kajian yang menunjukkan puasa Ramadan mampu menurunkan kandugan glukosa dalam darah tanpa memudaratkan badan, mengawal kadar kolestrol serta menurunkan kandungan lemak.

Bahkan, kajian di Qatar terhadap 1301 orang pesakit diabetes yang berumur 18 tahun ke atas menunjukkan penurunan profil lipid darah, tekanan darah, glukosa dan paras glycated hemoglobin. Ini memberikan khabar baik buat pesakit diabetes dalam mengawal penyakit mereka daripada keadaan yang lebih teruk. Walau bagaimanapun, mereka masih lagi memerlukan khidmat nasihat dan panduan daripada doktor perubatan sebelum meneruskan ibadah puasa.

Selain aspek fizikal dan jasmani, Ramadan juga memberikan kesan baik kepada kesihatan emosi umat Islam. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Puasa adalah pelindung. Maka janganlah bercakap keji serta melakukan amalan orang jahil. Sekiranya seseorang memukulnya atau mencacinya, maka berkatalah: Aku berpuasa sebanyak dua kali. Demi diriku di tanganNya, perubahan mulut orang yang berpuasa adalah lebih wangi di sisi Allah berbanding bauan kasturi. Dia meninggalkan makanan, minuma, serta keinginannya kerana diriKu. Puasa adalah untukKu dan Akulah yang layak memberikan ganjarannya. Setiap satu kebaikan digandakan kepada 10 pahala yang seumpamanya” (HR Bukhari). Rasulullah SAW memberi isyarat bahawa puasa boleh mengawal perasaan emosi marah seseorang walaupun dia dikeji, dicaci dan dipukul.

Begitu juga dalam mengawal nafsu syahwat, umat Islam adalah dituntut untuk berpuasa jika tidak mampu untuk berkahwin seperti yang disebutkan di dalam hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Wahai para pemuda! Sesiapa di antara kamu telah mampu (pembiayaan) berkahwin, maka bernikahlah. Kerana nikah itu dapat menundukkan mata dan memelihara faraj (kelamin). Dan sesiapa yang belum mampu, maka hendaklah berpuasa kerana puasa itu dapat menjadi perisai baginya (dalam membendung syahwat)“ (HR Bukhari dan Muslim). Sudah menjadi kewajipan juga buat umat Islam untuk membayar zakat fitrah dalam bulan Ramadan. Ia adalah sebagai manifestasi rasa emosi kasih sayang kepada golongan yang memerlukan. Begitu juga dengan amalan bersedekah yang banyak dilaksanakan terutama di bulan Ramadan. Orang yang mengeluarkan zakat atau sedekah akan pasti berasa puas kerana dapat menolong orang yang susah dan orang yang susah pula sudah tentu rasa bersyukur dengan pemberian tersebut.

Individu yang cemerlang memerlukan kesihatan akal dan mental yang baik dan puasa boleh membantu dalam hal ini. Menurut satu kajian, berpuasa dapat menurunkan kesan negatif ke atas pesakit yang mengalami kecederaan di bahagian otak. Proses kesembuhan ke atas otak yang cedera berlaku secara signifikan apabila pesakit berkenaan berpuasa selama 24 jam. Selain itu, puasa dapat menghasilkan keton dalam darah yang membantu perkembangan bahagian hippocampus otak dan sekaligus meningkatkan daya ingatan seseorang. Tambahan pula, hormon yang dikenali sebagai endorphin dihasilkan ketika berpuasa dapat menghilangkan kesakitan serta mendamaikan minda. Justeru, ia boleh menghalang daripada serangan penyakit mental.

Keseimbangan manusia tidak sempurna jika kesihatan rohani insan tidak diambil kira. Bulan Ramadan memberikan peluang kepada umat Islam untuk menyucikan hati serta membangkitkan kekuatan rohani mereka. Pelbagai rangsangan positif yang menenangkan hati telah diungkapkan oleh Rasulullah SAW bagi kita mempertingkat amalan di sepanjang Ramadan. Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang mendirikan Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan, akan diampunkan dosanya yang telah lalu” (HR Bukhari). Hati mana yang tidak gembira dan tenang jika dia mengetahui bahawa dosanya telah diampunkan oleh Allah SWT.

Selain dosa diampunkan, orang yang berpuasa juga dianugerahkan untuk masuk ke syurga melalui pintu khas iaitu Ar-Rayyan sebagaimana hadis Rasulullah SAW: “Sesungguhnya dalam syurga ada satu pintu yang disebut dengan Ar-Rayyan, yang pada hari Kiamat tidak akan ada orang yang masuk ke syurga melewati pintu itu kecuali orang-orang yang berpuasa” (HR Bukhari dan Muslim). Apabila tiba di hujung Ramadan, Allah SWT mengurniakan satu malam iaitu Malam Al-Qadar yang lebih baik daripada seribu bulan. Begitulah pemurahnya Allah SWT kepada hambaNya dan ini memberikan kekuatan kepada mereka untuk terus mengingati Allah SWT. Benarlah firmanNya: “(Iaitu) orang-rang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram” (Ar-Ra’d: 28)

Oleh itu, rebutlah kebaikan yang ada dalam bulan Ramadan agar kita lebih sihat dalam seluruh aspek kehidupan iaitu fizikal, emosi, akal dan rohani. Kesihatan yang holistik ini akan menjamin kecemerlangan kehidupan kita di dunia dan di akhirat.

Oleh: Zaiton Din
Pensyarah ACIS
UiTM Cawangan Pulau Pinang

Ts. Dr Rozaini Bin Othman
Pensyarah Kanan
Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanikal
UiTM Cawangan Pulau Pinang

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast