Sebuah kenderaan Toyota Vellfire menggunakan lampu suar bertindak membunyikan hon.

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) boleh mengenakan tindakan terhadap pemilik kenderaan yang mengubah suai kenderaan termasuk menggunakan lampu suar (beacon) atau lampu strob tanpa kebenaran.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zailani Hashim berkata, mengikut Kaedah 9, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959, hanya kenderaan-kenderaan dalam tugas kecemasan seperti ambulans, kereta bomba, kastam, polis, penjara dan JPJ sahaja dibenarkan.

“Kesemua kenderaan ini mendapat hak laluan kenderaan lain dengan cara membunyikan siren tertentu, loceng, dan hon dua-nada dengan syarat pemandu kenderaan itu tidak memandu secara berbahaya, cuai atau tidak bertimbang rasa.

“Pengguna jalan raya hendaklah bergerak sehampir yang boleh di sebelah kiri jalan bagi memberi laluan kepada kenderaan yang disebutkan di atas.

“Sebarang pengubahsuaian menggunakan lampu suar atau strob tanpa kebenaran JPJ menjadi satu kesalahan mengikut Peraturan 138 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 170/59,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, JPJ menerima aduan orang awam melalui aplikasi perkongsian video, TikTok berhubung penggunaan lampu suar atau strob.

Sebuah kenderaan Toyota Vellfire menggunakan lampu suar bertindak membunyikan hon.

Menerusi video yang dimuat naik, pemilik akaun @10langit_biru10 berdurasi 16 saat itu, sebuah kenderaan Toyota Vellfire yang menggunakan lampu suar bertindak membunyikan hon.

Tindakan itu mengakibatkan pengguna jalan raya yang lain terpaksa memberikan laluan. – MalaysiaGazette