Datuk Dr Ibrahim Ali
Dr Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menggesa kerajaan mencari jalan terbaik untuk memastikan tambang bagi pengangkutan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) tidak membebankan rakyat.

Beliau berkata, jika harga tambang bakal dikenakan nanti itu berkali ganda atau sama mahal dengan tiket penerbangan, sebolehnya ikhtiar perlu dilakukan bagi mengurangkan kos yang ditanggung rakyat.

Katanya, tumpuan boleh diberikan kepada kos pengangkutan kargo untuk menentu atau menampung pendapatan bulanan operasi dan lain-lain, manakala urusan membayar balik pinjaman dibuat melalui sumber lain pendapatan negara.

“Jangan pula dibebankan kepada rakyat melalui kos tambang. Jika tidak kereta api ECRL akan kosong akibat tiada penumpang menggunakan pengangkutan itu.

“Saya harap, projek ECRL ini benar-benar membahagiakan rakyat kerana mereka tidak senang dengan banyak projek dan angkara yang dilaksanakan sebelum ini sehingga Malaysia menjadi negara terhina di mata dunia,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail dilaporkan mendakwa, tambang penumpang bagi projek ECRL akan lebih mahal enam kali ganda berbanding tiket pesawat.

Justeru, beliau menggesa kerajaan meneliti aspek kemampuan rakyat membayar tambang ECRL yang dijangka siap penghujung 2026.

Katanya, rata-rata rakyat di negeri pantai timur menyambut baik pelaksanaan ECRL kerana dijangka dapat selesaikan kesesakan lalu lintas, namun adakah mereka mampu bayar tambang yang mahal?

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, beliau tidak tahu sama ada dakwaan itu betul atau sebaliknya, tetapi jika benar, kos tambang yang lebih tinggi dari tiket pesawat tidak wajar.

Bagaimanapun, katanya, secara logik jika kos operasi dan penyelenggaraan tinggi, tidak mustahil memberi kesan kepada harga tambang, sekali gus menjejaskan pendapatan golongan B40.

Dalam pada itu, kata beliau, dengan tambang yang tinggi, secara tidak langsung rakyat dan negara akan menanggung kerugian akibat beban kewangan yang teruk disebabkan kos yang dimanipulasi.

“ECRL adalah projek untuk rakyat, tetapi menjadi mangsa oleh sikap rakus pihak tertentu yang cuba mengaut keuntungan secara ‘dihalalkan’ oleh undang-undang.

“Walaupun ada pihak menafikan, pada saya, kos projek ECRL ini sangat tinggi berbanding kos projek yang sama dilaksanakan di Laos, yang jaraknya lebih jauh daripada ECRL Malaysia.

“Sebab itu, Malaysia kini berhutang lebih RM1 trilion, walaupun kaya dengan pelbagai hasil dan jumlah penduduk yang kecil. Ini amat memalu dan menyedihkan,” katanya. – MalaysiaGazette