Lori yang digunakan untuk menyeludup PATI tumpas.

KUALA LUMPUR – Polis Daerah Klang Utara berjaya menumpaskan cubaan menyeludup 32 warga asing dari Indonesia menggunakan sebuah lori yang bertutup kain kanvas, dalam satu pemeriksaan, awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Vijaya Rao Samachulu berkata, hasil pemeriksaan mendapati seramai 32 warganegara Indonesia terdiri daripada 19 lelaki dan 13 perempuan berumur antara 20 hingga 60 tahun.

“Kesemua mereka tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah untuk masuk ke Malaysia.

“Pada 12 Mei 2022 jam 6 pagi semasa pihak polis dari Balai Polis Kapar sedang membuat rondaan cegah jenayah telah terserempak dengan sebuah lori jenis Isuzu yang ditutup dengan kain kanvas di belakangnya.

“Anggota polis kemudiannya telah menahan lori tersebut yang dipandu oleh seorang lelaki India dan telah membuat pemeriksaan.

“Kesemua mereka tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah untuk masuk ke Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Antara 32 warganegara Indonesia yang cuba diseludup masuk ke negara ini menggunakan sebuah lori bertutup kain kanvas.

Katanya, siasatan awal mendapati kesemua migran telah masuk ke Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan dengan menggunakan bot pancung.

“Kesemua migran tersebut telah ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah untuk masuk ke Malaysia.

“Manakala Warga Tempatan yang berumur 30an pula ditahan di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya.

Beliau juga menggesa orang ramai yang berkaitan dengan aktiviti penyeludupan migran untuk memberikan maklumat kepada pihak polis.

“Ia bagi orang awam dan pihak polis bersama-sama membendung aktiviti yang menjejaskan keselamatan negara seperti ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast