MELAKA – Seorang lelaki ditemui lemas selepas dipercayai terjun ke dalam Sungai Melaka dalam usaha menyelamatkan diri ketika dikejar sekumpulan lelaki di Kampung Pengkalan Rama Pantai, di sini malam ini.

Mayat lelaki berusia lingkungan 40-an ditemukan sepasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat jam 8.46 malam.

Seorang saksi, Mimie Suraya Mohd, 25, berkata, sebelum kejadian, dia yang sedang bekerja di pos pengawal berhampiran lokasi terdengar bunyi bising sekumpulan lelaki mengejar lelaki berkenaan pada jam 6.30 petang.

“Kawan saya kemudian bertanya apa yang berlaku sambil turut mengekori lelaki berkenaan.

“Tidak lama kemudian, rakan beritahu lelaki yang dikejar itu telah terjun ke dalam sungai dan tidak ditemui,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di lokasi malam ini.

Mimie Suraya Mohd

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Melaka Tengah, Pegawai Bomba Kanan II Khairudin Atan berkata, sepasukan lapan anggota bersama sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi sebaik menerima maklumat jam 7.07 malam.

“Sebaik tiba, pada jam 7.12 minit operasi mencari dan menyelamat mangsa lelaki berusia 40-an bermula.

“Mayat kemudian ditemui pada jam 8.46 malam berhampiran lokasinya terjun sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.