Hassan Sazali Waras.

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Skuad Projek FAM-MSN, Hassan Sazali Waras mengakui dia menghormati lawan seperti Sri Pahang FC yang lebih berpengalaman, selain mahu anak buah menikmati sebaiknya aksi malam ini.

Jelasnya, dia tidak menjangkakan apa-apa kejutan tetapi berharap barisan pemain beraksi sebaiknya dalam memberi saingan hebat kepada anak buah Christophe Gamel memandangkan ini adalah kali pertama Skuad Projek FAM-MSN mara ke pusingan kedua Piala FA.

“Saya tidak boleh nak jangka apa-apa kejutan yang boleh berlaku tetapi kita akan bermain seperti biasa di mana ini adalah perlawanan yang agak besar kepada kami memandangkan ia kali pertama kami layak ke pusingan kedua Piala FA.

“Tetapi saya harus akur dengan pasukan lawan yang tidak boleh dipandang rendah sebab mereka ada kualiti tertentu dan sejarah yang besar terutamanya di pentas Piala FA.

“Cuma kali ini saya akan bagi ruang kepada pemain-pemain yang masih belum beraksi sebelum ini untuk malam esok, jadi mereka yang pernah bermain boleh rehat sebelum aksi Liga Premier lawan UiTM FC, minggu depan”, katanya.

Sementara itu, empat perlawanan pusingan kedua Piala FA akan berlangsung malam di mana tiga lagi aksi adalah membabitkan JDT bertemu Sarawak United, Melaka United FC menentang PJ City FC dan Perak FC menerima kunjungan Penang FC. – MalaysiaGazette