Muhyiddin Yassin

PUTRAJAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak halang Pas atau mana-mana parti dalam Perikatan Nasional (PN) untuk bekerjasama dengan UMNO.

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin menegaskan, parti pimpinannya mengambil pendekatan tersebut kerana berpegang kepada prinsip penyatuan ummah.

“Dasar kita tidak halang mana-mana parti baik dalam PN untuk mengambil apa-apa langkah. Pasal berpegang pada prinsip penyatuan ummah.

“Kalau lihat sejarah kita nak menyertai Muafakat Nasional dulu tapi kita ditolak. Tak diterima walaupun sudah dijawab secara rasmi. Jadi ini usaha yang Pas hendak ambil. Sama ada itu akan berhasil wallahualam. Saya tak dapat pastikan,” kata Muhyiddin.

Tambah Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, beliau menghormati apa sahaja keputusan yang akan dibuat oleh Pas.

Beliau menjawab soalan media berkaitan kenyataan Naib Presiden Pas Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bahawa parti itu akan terus mempertahankan hubungan parti itu bersama UMNO.

Ini kerana, menurut Menteri Besar Terengganu itu, agenda penyatuan ummah yang menjadi tunjang utama Muafakat Nasional (MN) lebih besar berbanding survival atau kelangsungan mana-mana parti politik tertentu.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, dalam pertemuannya dengan pemimpin tertinggi Pas baru-baru ini, mereka menyatakan mahu tetap bersama PN.

Penegasan tersebut dibuat oleh Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung parti itu Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

“Tetapi dari sudut PN kita masih dalam PN dan Pas dalam pertemuan saya pada hari raya baru-baru ini dengan presiden dan setiausaha agung katanya, Pas tetap istiqomah dalam PN.

“Tapi apa Pas nak buat, apa usaha kita tak apalah. Akhirnya kita akan duduk semeja, bincang apa yang terbaik untuk PN dan lebih penting apa yang baik untuk negara. Itu saya fikir kita perlu berikan perhatian,” katanya dalam sidang media.

Sebuah portal sebelum ini melaporkan, Ahmad Samsuri berkata, perjuangan Pas tidak bersandarkan kepada agenda kepartian atau survival politik parti-parti tertentu semata-mata sebaliknya melihat kepada agenda lebih besar iaitu penyatuan ummah.

“Kita akan terus berusaha melakukan perbincangan bersama Umno demi memastikan kerjasama terjalin antara dua parti terus utuh walaupun ada sesetengah pemimpin menyifatkan MN sudah berkubur,” katanya.

Menurutnya, sebagaimana ditegaskan Abdul Hadi, Pas perlu sentiasa berusaha memastikan MN dan PN dapat terus bergerak, serta menjadi antara satu alternatif dalam negara berbanding Pakatan Harapan.-MalaysiaGazette