KUALA LUMPUR – Penyerang naturalisasi negara, Guilherme de Paula kembali menjadi pilihan pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon bagi persiapan mengharungi dua aksi persahabatan dan Kelayakan Piala Asia 2023.
Penyerang berusia 36 tahun itu adalah antara sembilan pemain baharu yang dipanggil Pan Gon selain Matthew Davies, Afiq Fazail, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Junior Eldstal dan Norshahrul Idlan Talaha.
Tiga pemain lagi adalah Syahmi Safari dan Darren Lok yang tidak dapat bersama pada kem latihan pusat sebelum ini serta Nazmi Faiz Mansor.
Secara keseluruhan, pengendali dari Korea Selatan itu memanggil 29 pemain dengan Pan Gon mengekalkan 20 daripada 25 pemain yang dibawa ke Singapura bagi aksi Tiga Negara yang berlangsung Mac lalu.
Tiga daripadanya iaitu Aidil Zafuan Abd Radzak, Ramadhan Saifullah Usman dan Zhafri Yahya diletakkan dalam Senarai Bersedia manakala dua lagi pemain iaitu Luqman Hakim Shamsudin dan Quentin Cheng kini bersama skuad B-23 di Sukan SEA Vietnam.
Selain Aidil, Ramadhan dan Zhafri, lapan pemain diletakkan dalam Senarai Bersedia adalah Natxo Insa, Sharul Nazeem Zulpakar, Shahrel Fikri Md Fauzi, A Selvan, Khatul Anuar Md Jalil, Rizal Ghazali, Nur Shamie Iszuan Amin dan Arif Fadzilah Abu Bakar.
Bagaimanapun, daripada 40 pemain iaitu 29 yang dipanggil dan 11 pemain dalam senarai bersedia, hanya 23 pemain yang akan didaftarkan dalam senarai akhir bagi menghadapi pusingan Kelayakan Piala Asia 2023.
Baki 17 pemain yang lain tetap perlu bersedia untuk dipanggil sekiranya terdapat perubahan dalam senarai akhir tersebut.
Skuad Harimau Malaya dijadualkan menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa menentang Brunei pada 27 Mei ini dan Hong Kong pada 1 Jun depan.
Kemudian mereka akan menghadapi 3 perlawanan kelayakan Piala Asia menentang Turkmenistan (8 Jun), Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun) di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Para penyokong masih boleh mendapat tiket semua perlawanan tersebut pada satu harga istimewa iaitu RM100 menerusi laman web www.tickethotline.com.my. – MalaysiaGazette