Antara GRO warga asing yang ditahan semasa serbuan di sebuah pusat Hiburan di Bukit Bintang yang beroperasi melebihi waktu yang dibenarkan selepas 12 tengah malam oleh D7 Bukit Aman. Gambar Kumara Sabapatty MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Sebuah pusat hiburan di Bukit Bintang, di sini, menggunakan pintu belakang sebagai laluan kepada pelanggan tetap memasuki premisnya untuk berhibur selepas tamat waktu operasi yang dibenarkan pada pukul 12 tengah malam.

Malah pusat hiburan terbabit didapati mempunyai beberapa laluan lain yang boleh digunakan pelanggan untuk keluar daripada premis itu menuju ke kawasan parkir bagi meloloskan diri jika serbuan dilakukan pihak berkuasa.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, dalam serbuan yang dilakukan pada pukul 12.40 malam tadi, pihaknya menahan 19 individu, termasuk 13 wanita warga asing, yang dipercayai bekerja sebagai wanita pelayan pelanggan (GRO).

“Dalam serbuan itu, kami menahan 13 GRO membabitkan 12 wanita dari negara jiran dan seorang wanita dari Eropah Timur yang berusia antara 22 hingga 38 tahun.

“Pemeriksaan lanjut membawa kepada penahanan enam individu tempatan membabitkan pemilik premis, pengurus, penjaga kaunter serta pekerja di pusat hiburan berkenaan berusia antara 27 hingga 53 tahun.

“Kami turut melakukan pemeriksaan ke atas seramai 34 pekerja serta 89 pelanggan yang berada di dalam premis berkenaan semasa serbuan dilakukan dan dua daripada pelanggan yang diperiksa polis didapati positif dadah jenis methaphetamin,” katanya.

Antara pelanggan dan NGO yang diperiksa semasa serbuan di sebuah pusat Hiburan di Bukit Bintang yang beroperasi melebihi waktu yang dibenarkan selepas 12 tengah malam oleh D7 Bukit Aman. Gambar Kumara Sabapatty MalaysiaGazette

Tambah beliau, siasatan awal mendapati pusat hiburan itu melanjutkan waktu operasi sehingga pukul 8 pagi.

Sementara itu, Mohamad Noor memberitahu, pusat hiburan tersebut menyediakan perkhidmatan GRO warga asing yang hanya akan dibawa masuk ke dalam bilik karaoke oleh ejen sekiranya pelanggan bersetuju untuk menerima khidmat mereka.

“Pelanggan akan membuat pemilihan GRO melalui gambar yang disediakan menerusi aplikasi WhatsApp yang ditunjukkan oleh individu yang berperanan sebagai ‘kapten’ yang juga pekerja pusat hiburan berkenaan dengan kadar bayaran ditetapkan.

“Kadar bayaran yang dikenakan bagi setiap GRO asing adalah harga antara RM1,280 hingga RM2,080 untuk tempoh lima jam pertama dengan bayaran tambahan RM100 setiap jam dikenakan bagi sambungan masa langganan oleh pelanggannya,” ujarnya.

Mohamad Noor berkata, ketika serbuan dilakukan pihaknya mendapati pusat hiburan itu mempunyai kira-kira 20 bilik karaoke pelbagai saiz dengan kadar bayaran dikenakan bermula daripada RM2,200 hingga RM8,000.

Menurutnya, semua individu yang ditahan dan barang yang dirampas dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk proses dokumentasi serta siasatan lanjut.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Peraturan 39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) akta sama serta Seksyen 3 Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1992,” kata beliau. – MalaysiaGazette