TEXAS – Sekurang-kurangnya 18 pelajar dan seorang guru mati dalam tembakan di sebuah sekolah rendah di selatan Texas.
Suspek seorang remaja berusia 18 tahun itu melepaskan tembakan di Sekolah Rendah Robb di bandar Uvalde sebelum dia ditembak polis.
Polis berkata,suspek mungkin membawa senapang separa automatik dan pistol.
Agensi berita Associated Press melaporkan seorang pegawai polis yang meronda sempadan yang kebetulan berada berhampiran kawasan ketika tembakan berlaku pada pagi Selasa bergegas ke sekolah lalu melepaskan tembakan ke arah suspek yang berada di belakang penghadang.
Suspek yang bersenjata pistol, senapang separa automatik AR-15 dan magazin berkapasiti tinggi itu juga disyaki membunuh neneknya selepas mengamuk, menurut polis kepada CBS News.
Media tempatan turut melaporkan remaja itu mungkin pelajar sekolah menengah di kawasan tersebut.
Ketua polis daerah itu berkata, tembakan bermula pada 11.32 waktu tempatan dan percaya penyerang bertindak bersendirian.
Uvalde Consolidated Independent School District – yang terletak kira-kira 135 kilometer dari San Antonio telah membawa keluar semua pelajarnya.
Sekolah itu hanya mempunyai 500 pelajar.
Sementara itu, beberapa hospital memberitahu, mangsa-mangsa tembakan sedang diberi rawatan kecemasan selepas dikejarkan dengan bas dan van.
Seorang wanita berusia 66 tahun dan pelajar 10 tahun dalam keadaan kritikal.
Biro Siasatan Persekutuan sedang menyiasat kes ini. – BBC