Syed Saleh Syed Abdul Rahman (kiri) pada sidang media mengenai operasi haji musim 1443H/2022M di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Jemaah haji yang didapati positif Covid-19 di peringkat awal masih berpeluang untuk ke Tanah Suci sekiranya sembuh sebelum jadual penerbangan terakhir bagi musim haji tahun ini.

Pengarah Eksekutif Haji Tabung Haji (TH), Syed Saleh Syed Abdul Rahman bagaimanapun berkata, jemaah perlu mendapatkan kebenaran daripada pegawai perubatan sebelum dibenarkan melakukan penerbangan ke Tanah Suci.

“Kalau positif memang tak dapat teruskan penerbangan kerana sampai di sana nanti Kerajaan Arab Saudi tidak benarkan masuk.

“Kita kena ikut prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM), bila positif perlu kuarantin.

“Kalau mereka yang positif kumpulan penerbangan terakhir, habislah tiada lagi penerbangan, tidak boleh pergi.

“Setelah melalui PCR negatif dan ada kekosongan mereka boleh pergi menggunakan penebangan seterusnya ke Tanah Suci,” katanya pada sidang media di Menara TH, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Syed Saleh memberi jaminan mana-mana bakal jemaah haji yang merupakan kumpulan terakhir penerbangan didapati positif Covid-19 akan diberi keutamaan pada musim haji tahun berikutnya.

“Jika tidak berpeluang pergi tahun ini, kita akan beri keutamaan pula pada tahun akan datang,” katanya.

Sementara itu, TH turut menyediakan pegawai dan pakar perubatan khas daripada KKM khususnya untuk merawat jemaah yang positif Covid-19 selepas tiba di Tanah Suci.

“Mereka pakar penyakit berjangkit dan berpengalaman dua tahun mengendalikan kes Covid-19 tak kira tahap satu sampai lima, mereka akan berada di Tanah Suci sepanjang musim haji.

“Kita juga menyediakan prasarana kepada mereka yang positif Covid-19 antaranya pusat isolasi di bilik hotel dan wad khusus bagi pesakit Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette