Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Jumlah ahli yang mengundi pada Pemilihan PKR 2022 meningkat kepada kira-kira 147,000 berbanding 140,000 pada tahun 2018 walaupun peratusan keluar mengundi hanya 13.5 peratus, kata Pengarah Komunikasi Strategik PKR, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata jumlah peratusan mengundi di cabang-cabang tertentu juga tinggi, contohnya di cabang Pensiangan yang mencecah 45 peratus.

“Ia tidak boleh dilihat pada jumlah purata keluar mengundi, beberapa faktor juga dikenal pasti termasuk faktor logistik dan teknikal seperti capaian internet, ini semua akan kita perbaiki dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Lembah Pantai di sini hari ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata faktor lain ialah apabila terdapat 65 dari 222 cabang tidak mengadakan proses pemilihan, menyebabkan peratusan keluar mengundi rendah.

Beliau turut menafikan peratusan rendah itu disebabkan oleh tindakan boikot ahli yang tidak berpuas hati terhadap pencapaian Pakatan Harapan (PH).

Pemilihan PKR 2022 berakhir semalam setelah menyaksikan pengundian semula di 12 cabang melibatkan beberapa buah negeri termasuk Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Sabah.

Keputusan tidak rasmi cabang-cabang akan dipamerkan di laman sesawang ‘Pemilihan Keadilan 2022’ mulai hari ini.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Dr Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan berkata keputusan yang bakal diumumkan tertakluk kepada keputusan aduan dan bantahan diterima JPP yang masih dalam proses siasatan oleh Panel Aduan JPP.

“Pengumuman keputusan rasmi akan dibuat di Kongres Parti Keadilan Rakyat yang dijadualkan berlangsung pada 25 dan 26 Jun ini.

“Keputusan yang akan diumumkan merupakan keputusan muktamad bagi Pemilihan Keadilan 2022,” katanya.- BERNAMA