PENYAKIT HFMD (tangan, kaki, mulut) merupakan penyakit berjangkit bersifat endemik di negara ini yang secara umumnya kerap berlaku kepada golongan kanak-kanak berusia bawah lima tahun.

PENYAKIT HFMD (tangan, kaki, mulut) merupakan penyakit berjangkit bersifat endemik di negara ini yang secara umumnya kerap berlaku kepada golongan kanak-kanak berusia bawah lima tahun.

Realitinya, penyakit berjangkit ini mempunyai kesan atau simptom yang bersifat ringan kerana jangkitan beberapa jenis virus terutamanya virus Enterovirus 71 (EV-71) dan Coxsackievirus.

Virus-virus itu memasuki badan seseorang melalui sentuhan langsung ulser pesakit melalui udara apabila tersedut titisan air liur pesakit terutamanya mereka batuk, bersin atau meleleh air liur).

Selain itu, virus jangkitan penyakit tersebar melalui najis pesakit selama beberapa minggu.

Pakar Perubatan Dalaman Hospital Pakar KPJ Perlis, Dr. Teoh Win Sern ketika ditemubual Malaysia Gazette berkata, penyakit HFMD bukan sahaja melibatkan golongan kanak-kanak tetapi golongan dewasa turut berisiko.

Dr Teoh Win Sern

“Gejalanya tetap sama bagi kedua-dua golongan itu iaitu luka dalam mulut, ruam pada tangan, kaki atau kedua-duanya, demam atau mengalami simptom seperti demam selesema.

“Walaupun HFMD merupakan jangkitan virus yang ringan dan biasanya pulih tanpa rawatan khusus, ia boleh menyebabkan penyakit serius yang melibatkan organ penting seperti radang jantung (HFMD myocarditis) dan radang otak (HFMD meningoencephalitis) terutamanya golongan kanak-kanak sekiranya tidak dapat dikesan lebih awal,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Teoh menambah, HFMD dikenal pasti berdasarkan gejala penyakit dan melalui pemeriksaan fizikal oleh doktor perubatan.

“Pesakit wajib memberitahu doktor sekiranya mereka berpendapat mereka terdedah kepada virus kerana kontak dengan pesakit positif HFMD terutamanya kanak-kanak.

“Diagnosis HFMD tidak memerlukan ujian darah,” katanya.

Beliau memberitahu, hampir semula gelaja melibatkan HFMD akan hilang dalam lima hingga 10 hari tanpa perlu menjalani rawatan khusus.

“Sebaiknya, seseorang pesakit yang positif HFMD menjalani tempoh kuarantin yang ditentukan doktor selama tujuh hingga 10 hari bagi mengelak penyebaran virus.

“Sebenarnya, tiada vaksin atau ubat khusus bagi menyembuhkan HFMD namun seseorang boleh memakan ubat demam, minum air dalam kuantiti yang banyak bagi mengelak dehidrasi, menggunakan ubat kumur kebas atau ubat sembur tekak untuk sakit tekak.

“Selain itu, gunakan ubat sapu untuk luka mulut, elakkan makanan panas dan pedas selain mendapat rehat yang secukupnya,” katanya.

Dalam pada itu, Teoh berkata, HFMD tidak akan berubah menjadi pandemik berdasarkan statusnya kini endemik.

“Pandemik ialah wabak seluruh dunia dan penularan melalui udara sebagai mekanisme utama dan terlalu mudah untuk dijangkiti dan tersebar. Sifat ini tiada pada virus HFMD,” katanya. – MalaysiaGazette

Artikel sumbangan Pegawai Perhubungan Awam Hospital Pakar KPJ Perlis, MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM.