KUALA LUMPUR – Perbicaraan 22 lelaki atas tuduhan menyertai kumpulan jenayah terancang, ‘Geng Sakai’, pada tujuh tahun lalu bermula hari ini.

Perbicaraan yang berlangsung di Mahkamah Tinggi dihakimi oleh Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Sebelum ini, dilaporkan seramai 50 hingga 70 saksi pendakwaan bakal dipanggil bagi memberi keterangan sepanjang perbicaraan berlangsung.

Ahli Geng Sakai ditangkap dalam serbuan polis menerusi Op Fortress di Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu dan Perak.

Ketika serbuan, polis turut menahan seorang pelajar berusia 14 tahun, dipercayai salah seorang anggota kumpulan yang aktif.

Kumpulan yang aktif sejak 2012 itu dipercayai melakukan beberapa jenayah terancang termasuk penjualan dadah, membunuh, merekrut ahli kumpulan samseng, membawa senjata api secara haram serta jenayah kekerasan lain di ibu negara.

Berdasarkan pertuduhan, kesemua mereka yang berusia antara 18 hingga 47 tahun didakwa melakukan perbuatan itu di Flat Sri Selangor, antara Januari 2015 dan Jun tahun lalu 2021.

Sementara itu, pada September tahun lalu kesemua tertuduh termasuk ketua kumpulan Rosli Sahak mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu dan Tamil.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Maryam Jamielah Manaff, Nur Ainaa Ridzwan dan Rajdeep Singh Bhupinder Singh.

Manakala 17 tertuduh diwakili peguam Datuk Sheelan Arjunan, Datuk T. Harpal Singh, Datuk Geethan Ram Vincent, Revin Kumar, Mahajoth Singh, Wan Zaleha Abdul Wahab, Naizatul Zambrina Karizaman, Jay Moy Wei Jiun, Jayarubbiny, P. Taneswaran dan K. Komagan.

Sementara itu, lima lagi tertuduh tidak diwakili peguam. -MalaysiaGazette