Raya Erom (kiri) memperlihatkan buku yang ditulis berkaitan perjalanan seni beliau kepada Coswald (kanan).

KOTA KINABALU – Sebuah buku terbitan Universiti Malaysia Sabah (UMS)
bertajuk ‘Mengimbau Dunia’ Koleksi Datuk Raya Erom dilancarkan di Galeri Azman
Hashim (GAH), di sini, baru-baru ini.

Buku yang ditulis Prof. Madya Dr. Haji Baharudin Haji Mohd Arus mengisahkan
perjalanan aktivis seni yang cukup berdedikasi berasal dari Kampung Selupoh
Tuaran, Datuk Hajah Raya Erom.

Menurut Baharudin, buku tersebut dihasilkan selama dua tahun bermula 2019
sebelum pandemik Covid-19 melanda negara.

“Ia memuatkan 180 karya seni Datuk Raya Erom yang terbahagi kepada beberapa
elemen seni seperti garisan, jalinan, bentuk, ruang dan warna.

“Aliran karya beliau adalah Naif (Naive) abstrak ekspresionisma dan berkonsepkan
feminisme aliran berkaitan dengan hal gender.

“Apa yang ingin diangkat oleh pelukis (Datuk Raya) juga adalah seperti tujuan ahli
falsafah Tolstoy, Aristotle dan Al Rumi yang menganjurkan seni lukis mesti mencapai
matlamat mendekatkan manusia kepadai perkara-perkara kebaikan dalam hidup dan
juga ketuhanan,” katanya.

Baharudin yang juga pesara pensyarah Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF)
UMS berkata demikian ketika dihubungi selepas pelancaran buku.

Sementara itu, Datuk Raya Erom memaklumkan bahawa beliau sebenarnya masih
mempunyai pelbagai karya seni yang tidak dimuatkan dalam buku tersebut kerana ia
tidak berada dalam simpanannya.

“Sebahagian besar bilangan karya yang lain sudah terjual kepada kolektor, hadiah
kepada badan amal dan orang perseorangan.

“Karya yang terdapat dalam buku ini adalah hasil luahan rasa serta persepsi seni
yang diharap dapat dinikmati serta menjadi kebaikan kepada khalayak seperti
pepatah Inggeris yang diambil daripada puisi John Keats “A thing of beauty is joy
forever,” katanya.

Datuk Raya Erom turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah
menyokong beliau sehingga buku setebal 278 muka surat itu berjaya diterbitkan.

“Dalam kesempatan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada individu
serta badan tertentu yang banyak membantu kelahiran buku ini.

“Ucapan terima kasih tidak terhingga kepada suami saya, Datuk Seri Panglima Dr.
Mohd Salleh Said Keruak, beliau merupakan penyokong utama yang sentiasa menjadi tunggak utama bagi saya menghasilkan karya seni visual yang kebanyakan termuat di buku ini.

“Tidak lupa juga penasihat karya saya, Profesor Emeritus Datuk Dr Haji Ghouse
Nasaruddin dan yang teristimewa penulis buku ini, Prof. Madya Dr. Baharudin Mohd Arus,” katanya.

Majlis pelancaran buku tersebut disempurnakan Penolong Naib Canselor (Jaringan
Industri dan Masyarakat) UMS, Profesor Dr. Coswald Stephen Sipaut @ Mohd. Nasri
mewakili Naib Canselor UMS. – MalaysiaGazette