Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bersalaman bersama kanak-kanak yang hadir selepas pelancaran buku Jejak Khalifah Permata Kepimpinan Islam di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 06 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Perbincangan Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin dengan pemimpin pembangkang hanya melibatkan hal-hal yang berkaitan dengan negara.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya tidak mendapat sebarang maklumat yang mendakwa Muhyiddin telah melakukan perbincangan dengan pemimpin pembangkang untuk menjadi perdana menteri semula.

“Maklumat itu tak ada. Saya dimaklum perbincangan biasalah berkaitan dengan negara. Masalah kerjasama tak ada. Tak timbul,” kata Abdul Hadi.

Beliau diminta mengulas mengenai dakwaan Presiden Parti Warisan Malaysia (Warisan), Tan Sri Shafie Apdal bahawa Muhyiddin telah menghubunginya dua bulan lalu untuk mendapatkan sokongannya untuk menjadi Perdana Menteri semula.

Sebuah portal berita sebelum ini melaporkan, Presiden Warisan itu berkata, Muhyiddin memaklumkan bahawa beliau mendapat sokongan 119 ahli Parlimen di Dewan Rakyat yang mempunyai 222 anggota.

Kata Shafie, Muhyiddin turut mendakwa beliau telah membincangkan perkara itu dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bersetuju menyokong Muhyiddin.

Sementara itu Abdul Hadi berkata, Muhyiddin merupakan antara calon perdana menteri Perikatan Nasional bagi Pilihan Raya Umum ke-15.

“Benda yang akan datang kita tak akan tahu. Akan datang kita tak tahu. Memang beliau salah seorang calon perdana menteri dalam Perikatan Nasional,” katanya.

Abdul Hadi ditemui di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur selepas melancarkan empat naskah buku terbaharu tulisannya berkaitan empat khalifah utama Islam.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menandatangani buku Jejak Khalifah Permata Kepimpinan Islam hasil penulisannya selepas pelancaran di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 06 JUN 2022.

Dalam pada itu Abdul Hadi bersetuju dengan kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bahawa PRU15 perlu ditangguhkan.

Menurutnya, penagguhan itu adalah pendirian Pas selama ini kerana masih terdapat masalah rakyat yang perlu diselesaikan.

Tambahnya, tarikh paling ideal bagi PRU15 diadakan adalah sehingga penggal PRU14 tamat iaitu pada tahun depan.

“Itu memang cadangan kita perlambatkan kerana masalah rakyat banyak belum selesai lagi. Rakyat masih lagi menghadapi masalah. Jangan kerap sangat. Pilihan raya negeri sudah beberapa kali. Kita cadang sehingga habis penggal,” katanya.

Semalam, Khairy menyifatkan pelaksanaan PRU15 dalam masa terdekat hanya sebagai ‘desakan politik’ semata-mata.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, negara kini masih berada pada fasa peralihan endemik, belum memasuki fasa endemik untuk membenarkan aktiviti tanpa kawalan kesihatan, termasuklah ceramah besar-besaran.

Jelasnya, sehingga kini Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) masih dikuatkuasakan dan pelaksanaan PRU15 dalam masa terdekat hanyalah desakan ahli politik yang tidak memikirkan soal kesihatan rakyat.

Menurutnya, jika mahu menjaga kesihatan awam negara perlu tunggu beberapa bulan lagi hingga ke fasa endemik.-MalaysiaGazette