Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

MELAKA – Mahkamah Pilihan Raya hari ini menolak petisyen mencabar keputusan Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November lalu.

Hakim Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu selepas mendapati semua lima tuduhan yang dikemukakan menerusi petisyen berkenaan tidak berasas.

Petisyen berkenaan dikemukakan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad terhadap tiga responden iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Pengurus Pilihan Raya DUN Sungai Udang.

Peguam mewakili Dr Mohd Aleef, Rosli Dahlan ketika ditemui selepas keputusan itu berkata, seramai 20 saksi dipanggil sepanjang perbicaraan yang bermula pada 24 Mac lalu.

Roslan Dahlan

“Dalam keputusan hakim yang dibacakan dalam 35 muka surat, Yang Arif telah memperincikan satu persatu bahawa tidak berlaku penyelewengan terhadap pihak SPR, tidak berlaku penyogokan oleh Dr Aleef sebagai pemenang pilihan raya tersebut.

“Hari ini kita mendapatkan kepastian mahkamah secara jelas bahawa segala aduan itu hanya tohmahan yang tidak berasas setelah mahkamah menolak lima tuduhan yang dilemparkan iaitu tiga tuduhan terhadap SPR melibatkan penyelewengan selain dua tuduhan terhadap Dr Mohd Aleef yang dikatakan terbabit dalam sogokan,” katanya.

Mohamad Ali yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri bagaimanapun tidak hadir pada sesi pendengaran keputusan terbabit dan hanya diwakili barisan peguamnya, Amin Othman, Datin Rosfinah Rahmat, Wan Hamidah Wan Ismail dan Nor Hazira Abu Haiyan.

Mohamad Ali yang tewas dalam PRN pada 20 November lalu memfailkan petisyen pilihan raya itu pada 14 Disember lalu bagi membatalkan keputusan yang memihak kepada Dr Mohd Aleef Yusof daripada Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti 530 undi dalam pertembungan empat penjuru.

Petisyen dilakukan atas beberapa alasan termasuk wujudnya unsur rasuah dan pelanggaran Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).- MalaysiaGazette