Sebahagian bekas perajurit yang hadir ke program Reunion Bersama Bekas Perajurit Semalaysia ATM dan Isu-Isu Semasa Veteran ATM di Tugu Negara, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 06 JUN 2022.

PERHIMPUNAN lebih daripada 1000 orang warga veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan Darat, Laut dan Udara pada tanggal 6 Jun 2022 di Dataran Peringatan Tugu Negara, Kuala Lumpur telah mencetuskan polemik yang hangat diperkatakan sepanjang minggu ini.

Ironinya, perhimpunan yang diadakan bertepatan dengan cuti
umumsambutan Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang merupakan Panglima Tertinggi ATM ini wajar dilihat dari sudut pandang yang positif dan tidak disalahertikan dengan perspektif negatif atau tohmahan-tohmahan yang tidak berasas.

Perhimpunan ini merupakan satu aktiviti perjumpaan semula (reunion) antara para veteran ATM untuk menunjukkan solidariti mereka bagi menuntut pembelaan terhadap hak-hak mereka yang dijamin dalam perlembagaan negara.

Matlamat utama perhimpunan ini adalah untuk memberi penerangan kepada warga veteran ATM terhadap beberapa perkara yang termaktub dalam perlembagaan berkaitan kebajikan dan kelangsungan hidup mereka selepas menamatkan perkhidmatan ATM tetapi kelihatan seolah-olah diabaikan sejak sekian lama.

Sebagai contoh, tuntutan penyelarasan pencen warga veteran ATM sebelum tahun 2013 yang telah diperjuangkan penganjur himpunan sejak lapan tahun lalu masih tidak menerima sebarang maklumbalas positif
daripada kerajaan hingga kini.

Dari sudut pandang psikologi, tindak balas asas manusia apabila
sesuatu isu berlarutan sehingga menggugat tahap kesabaran adalah “either to fight or flight”.

Justeru, perhimpunan veteran ATM bangkit atau RU 6622 ini merupakan satu bukti solidariti atau intepretasi amalan lazim kebebasan bersuara kelompok warga sebuah negara demokrasi yang telah merdeka melebihi tempoh enam dekad lamanya.

Dalam tempoh beberapa tahun ini, telah berlaku beberapa perhimpunan yang lebih agresif sifatnya jika dibandingkan dengan himpunan RU 6622 ini.

Sehubungan itu, amat malang sekiranya RU 6622 ini ditohmah sebagai gerak kerja untuk mengugut kerajaan, melanggar undang-undang, mengandungi acara yang bercanggah dengan agama, dan pelbagai lagi andaian liar semata-mata berhasrat untuk menjejaskan kredibiliti penganjur himpunan, serta menghakis solidariti yang baru disemai dalam kalangan warga bekas perajurit negara ini.

Lebih malang lagi, apabila RU 6622 ini cuba dimanipulasi oleh sesetengah pihak yang cuba mendapatkan ‘political mileage’ secara mudah, tanpa benar-benar memahami iltizam dan pemangkin kepada kebangkitan warga veteran ATM ini.

Hakikatnya, sejak tsunami politik melanda negara mulai 9 Mei 2018, terlalu banyak aspek-aspek tadbir urus kritikal negara meliputi ekonomi, pendidikan, pertahanan, dan sebagainya menjadi mangsa penjarahan ‘kartel’ politik secara langsung mahupun tidak langsung.

Penganjuran ‘RU 6622’ ini juga tidak terlepas dari senario ini apabila susulan pelaksanaannya, kenyataan berkaitan objektif
pelaksanaan perhimpunan ini oleh beberapa figura dan parti politik tanahair mula tersebar.

Natijahnya, ‘RU 6622’ bukanlah satu perhimpunan bermotifkan politik sepertimana perhimpunan-perhimpunan reformasi politik jalanan tetapi lebih bersifat eksesais hak kebebasan bersuara warga bekas perajurit negara, yang digerakkan secara sukarela, sistematik dan teratur, tanpa didalangi mana-mana pihak berkepentingan mahupun membelakangkan aspek perundangan dan keselamatan umum.

Adalah amat sukar untuk diterima akal sekiranya kumpulan bekas perajurit negara ini terlupa tentang ikrar taat setia yang pernah dilafazkan terhadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, serta tergamak mempertaruhkan keharmonian negara dan ketenteraman awam menerusi penganjuran perhimpunan ini.

Apatah lagi, mereka pernah berkhidmat sebagai anggota pasukan keselamatan yang bertanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara ini suatu ketika dahulu.

Justeru, adalah tidak adil untuk warga awam yang tidak pernah menganggotai ATM untuk memperkecilkan usaha dan gerak kerja warga veteran ini sewenang-wenangnya.

Pengalaman dan latihan yang diterima dalam ATM pasti setidak-tidaknya membentuk disiplin diri yang tinggi untuk mereka melakar perancangan tuntas dan teliti dalam pelaksanaan RU 6622 ini, sejajar dengan peruntukan undang-undang sedia ada dan saluran yang sewajarnya.

Dalam hal ini, sekiranya benar wujud sebarang elemen pelanggaran undang-undang, biarlah pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan yang diperlukan.

Sesungguhmya, polis dan tentera berpisah tiada, kerana kedua-duanya adalah benteng pertahanan negara, dulu, kini, dan selamanya.

Walaupun pelbagai pandangan diutarakan terhadap motif penganjuran ‘RU 6622’, namun tidak dapat dinafikan penganjurannya telah memberi impak dalam konteks menyuarakan tuntutan-tuntutan untuk pembelaan warga veteran ATM yang diabaikan sejak sekian lama dan menarik perhatian pihak-pihak berkepentingan terhadap isu-isu yang dibangkitkan.

Persoalannya, apakah impak ini akan menyedarkan pihak-pihak tersebut untuk bertindak dan mula merangka intervensi sewajarnya?

Selain itu, solidariti warga veteran ATM ini juga harus dielakkan daripada dicemari anasir-anasir subversif yang ‘merosakkan’ agar wadah yang diperjuang akan terus kekal murni dan tidak ‘dijahanamkan’ oleh pihak-pihak yang gemar ‘menangguk di air keruh’.

Semoga semangat setiakawan atau ‘esprit de corp’ yang dipupuk semasa dalam perkhidmatan akan kekal menjadi teras kepada perjuangan membela hak warga veteran ATM dan keluarga mereka, hari ini dan pada masa hadapan.

Perjuangan baru bermula, ia belum selesai, ia perlu diteruskan dengan niat dan istiqamah yang tulus, serta tidak diganggu gugat
dengan mentaliti dan tingkah laku yang boleh memecah belahkan kesatuan yang baru dibina.

Kepada warganegara Malaysia yang lain, usah berasa terancam dengan RU 6622 kerana ia hanyalah satu gerakan menuntut hak-hak yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan oleh sekelompok warganegara, yang pada suatu ketika dahulu membentengi kedaulatan sempadan, perairan dan ruang angkasa negara agar keselamatan kita kekal terjamin sempurna.

Kepada barisan pemimpin kerajaan hari ini dan masa hadapan tunjukkan keprihatinan dan kepekaan dengan mendengar luahan, berempati, dan menyantuni tuntutan-tuntutan warga veteran ATM ini sewajarnya, sebagai isyarat bahawa pengorbanan darah, keringat, air mata serta jasa bakti mereka mempertahankan kedaulatan bangsa dan negara, akan sentiasa diiktiraf, dikenang dan dihargai.

Gempur Wira!!! Daulat Tuanku!!!

Lt. Kdr. (B) Prof. Madya Dr. Abu Yazid Abu Bakar 
Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan
Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)