Suasana di sekitar Pelabuhan Klang dan Port Klang Free Zone.

KUALA LUMPUR – Jumlah dagangan Malaysia pada bulan Mei 2022 terus kukuh dan mengekalkan momentum menaik kepada RM228.37 bilion, berkembang sebanyak 33.6 peratus.

Prestasi itu menyaksikan pertumbuhan dua angka bulan yang ke-16 berturut-turut sejak Februari 2021 disokong oleh pertumbuhan tinggi eksport (+30.5%) dan import (+37.3%).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, eksport Malaysia dalam tempoh itu meningkat 30.5 peratus daripada RM92.3 bilion kepada RM120.5 bilion.

Pertumbuhan ini didorong oleh kedua-dua eksport domestik dan eksport semula.

Eksport domestik bernilai RM96.0 bilion menyumbang 79.7 peratus kepada jumlah eksport, meningkat 22.1 peratus, tahun ke tahun.

Sementara itu, eksport semula mencatatkan RM24.4 bilion, meningkat 79.1 peratus.

Selari dengan prestasi eksport, import pada Mei 2022 juga mencatatkan pertumbuhan dua angka 37.3 peratus daripada RM78.6 bilion pada Mei 2021 kepada RM107.9 bilion, pertumbuhan tertinggi sejak November 2021.

Lebihan dagangan pada Mei 2022 bernilai RM12.6 bilion, merupakan lebihan dagangan yang ke-25 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.

Namun begitu, pertumbuhan yang memberangsangkan ini turut dipengaruhi oleh prestasi lemah semasa PKP 3.0 pada Mei 2021.

Berbanding April 2022, prestasi jumlah dagangan, eksport dan lebihan dagangan menunjukkan penurunan masing-masing 1.4 peratus, 5.6 peratus dan 46.3 peratus.

Sebaliknya, import meningkat 3.6 peratus.

Selaras dengan pertumbuhan tahunan, 167 daripada 256 kumpulan barangan untuk eksport menunjukkan peningkatan berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya, dipaju oleh injap & tiub termionik.

Bagi import, 172 daripada 260 kumpulan mencatatkan pertumbuhan positif.

Jabatan Perangkaan Malaysia berkata, peningkatan eksport disumbangkan terutamanya oleh eksport yang lebih tinggi ke Singapura (+RM5.3 bilion), Hong Kong (+RM2.7 bilion), Kesatuan Eropah (+RM2.3 bilion), Indonesia (+RM1.8 bilion), Amerika Syarikat (+RM1.6 bilion), Taiwan (+RM1.6 bilion), Thailand (+RM1.5 bilion), Bangladesh (+RM1.5 bilion) dan China (+RM1.4 bilion).

Sementara itu, penyumbang utama peningkatan import diterajui oleh Singapura dengan nilai peningkatan RM5.2 bilion. Ia diikuti oleh Viet Nam (+RM4.0 bilion), Taiwan (+RM2.6 bilion), China (+RM2.3 bilion), Amerika Syarikat (+RM2.0 bilion), Kesatuan Eropah (+RM1. 8 bilion), Indonesia (+RM1.5 bilion), Emiriah Arab Bersatu (+RM1.4 bilion) dan Republik Korea (+RM1.1 bilion).

Mengulas lebih lanjut mengenai eksport, peningkatan mengikut produk didorong oleh barangan elektrik & elektronik (+RM14.3 bilion); keluaran petroleum (+RM5.6 bilion); minyak kelapa sawit & keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit (+RM3.1 bilion); gas asli cecair (+RM1.8 bilion); barangan perkilangan berasaskan minyak kelapa sawit (+RM1.6 bilion) dan petroleum mentah (+RM980.3 juta).

Sementara itu, kenaikan import dicatatkan bagi barangan elektrik & elektronik (+RM11.5 bilion); keluaran petroleum (+RM5.2 bilion); arang batu (+RM2.5 bilion); kimia & bahan kimia (+RM1.6 bilion); emas (+RM1.3 bilion) dan petroleum mentah (+RM1.3 bilion). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast