Young Syefura Othman

KUALA LUMPUR – Seorang wakil rakyat yang terlibat secara langsung dalam bencana banjir tampil memberi pandangan berhubung pandangan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz bahawa banjir tahunan negara boleh menjadi sumber “pelancongan kesukarelawan”.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman menegaskan, cadangan itu tidak sensitif dan seolah tidak ada rasa simpati terhadap penderitaan rakyat ditimpa musibah banjir.

“Saya sokong idea dan pemikiran di luar kotak mana-mana pihak yang boleh membantu pembangunan negara, tetapi idea sebegini pada hemat saya adalah idea seorang manusia yang jauh dari kehidupan masyarakat sebenar.

“Pemimpin ini hanya fikir soal bagaimana negara boleh dapat sumber pendapatan daripada kesusahan dan penderitaan rakyat, namun langsung tidak fikir bagaimana nak atasi masalah banjir,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Baru-baru ini, Nazri menerusi kenyataan disiarkan sebuah portal berita dilaporkan berkata, sesebuah negeri boleh mengadakan pelancongan sukarela dengan orang ramai datang untuk membantu menghadapi banjir.

Katanya, cadangan itu bukan mengenai pelancong datang semata-mata untuk berseronok, tetapi mereka juga boleh belajar.

Dia memberi contoh banjir di daerah Kuala Krai, Kelantan pada 2014, yang disifatkannya “seperti pesta” ketika banjir.

Young Syefura yang juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi Eksekutif DAP menjelaskan, DUN Ketari di Pahang adalah antara kawasan paling teruk terjejas bencana banjir pada Disember tahun lalu.

Menurut beliau, DUN itu merangkumi kawasan peranginan Janda Baik dan beberapa lagi kawasan tarikan pelancong dalam daerah Bentong yang turut terjejas teruk.

“Ia juga kawasan pertama terjadinya bencana banjir pada hari itu sebelum banjir merebak ke kawasan lain dalam Bentong menyebabkan banyak tempat tarikan pelancong di Janda Baik masih tidak dibaik pulih.

“Apa lagi infrastruktur seperti jambatan dan jalan tidak dibaik pulih langsung oleh kerajaan negeri, kementerian, jabatan mahupun agensi yang berkaitan.

“Memang benar, situasi pasca banjir terutamanya beberapa hari selepas berlaku, kami memerlukan ramai sukarelawan untuk membantu mangsa dalam kerja pembersihan.

“Namun, adalah salah dari segi etika dan pemikiran jika kerajaan memandang hal ini sebagai satu lubuk pendapatan untuk negara mahupun negeri. Di manakah empati dan sensitiviti Nazri ketika menyuarakan pendapat ini?,” soal beliau.

Beliau juga menyelar bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu seperti hilang belas simpati kepada mangsa apabila seolah-olah meraikan kesusahan dan musibah yang ditimpa oleh rakyat.

Timbalan Ketua DAPSY Kebangsaan itu menjemput mana-mana pihak turun ke DUN Ketari yang masih lagi tidak menerima bantuan baik pulih pasca banjir untuk mendengar sendiri keluhan mangsa.

“Saya juga ingin menjemput mana-mana pihak berdialog dengan semua mangsa banjir mengenai trauma yang mereka hadapi sebagai mangsa banjir.

“Mungkin dengan cara ini pemimpin yang tuli dan buta hati boleh lebih memahami perasaan rakyat yang masih terkapai-kapai mencari semula langkah untuk menyambung sisa hidup mereka setelah seluruh harta benda dan kehidupan hanyut dibawa arus banjir,” ujarnya. – MalaysiaGazette