kan kembung kaya dengan asid lemak Omega-3, vitamin B12 yang melebihi 300 peratus keperluan harian badan.- Gambar hiasan sumber internet.

MENJALANI kehidupan dengan kesibukan urusan seharian pada zaman moden ini menyebabkan ramai yang mengalami stress atau lebih dikenali tekanan jiwa.

Bagi mengurangkan atau mengawal stress, pelbagai cara dilakukan seseorang seperti bercuti, mendapatkan rawatan kaunseling serta melakukan aktiviti atau hobi yang digemari.

Namun, amalan pemakanan yang betul juga dapat mengurangkan kekusutan jiwa malah lebih mengagumkan ia tidak melibatkan kos yang tinggi dan mahal.

Dietitian Hospital Pakar KPJ Perlis, Nur Adilah Badrol Hisham memberitahu, amalan diet yang seimbang boleh membantu menghindari tekanan jiwa.

“Stress yang keterlaluan boleh mengurangkan tenaga, menghakis memori, melemahkan sistem imun, mengganggu mood, mengurangkan tumpuan selain mampu memberi kesan kepada semua organ dan fungsi tubuh kita.

Nur Adilah Badrol Hisham

“Menerusi pengambilan diet yang seimbang, kesihatan yang baik dapat dikekalkan bagi memastikan tahap mental dan fizikal berada dalam keadaan terbaik,” katanya baru-baru ini.

Adilah menambah, terdapat beberapa jenis makanan yang dapat membantu mengurangkan stress dan salah satunya ialah ikan.

“Ikan laut dalam seperti ikan salmon, mackerel (tenggiri, kembung), sardin dan ikan air tawar seperti ikan patin dan haruan adalah antara sumber makanan yang tinggi dengan Omega 3 untuk membantu menstabilkan stress terutamanya melibatkan hormon kortisol.

“Sebagai contoh, ikan kembung mudah didapati dengan harga yang berpatutan. Ikan ini kaya dengan asid lemak Omega-3, vitamin B12 yang melebihi 300 peratus keperluan harian badan selain setiap 100 gram ikan ini kembung mengandungi 21 gram protein yang dapat memenuhi 40 peratus keperluan badan.

“Ikan ini juga kaya dengan lemak sihat seperti asid lemak, DHA dan EPA yang membantu mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular seperti strok, aterosklerosis dan aritma.

“Terdapat kajian yang mendapati ikan kembung mampu meredakan masalah mood swing dalam kalangan pesakit depresi kerana kandungan DHAnya yang tinggi membantu individu yang sedang mengambil ubat anti depresi,” katanya.

Beliau menambah sebaiknya ikan kembung dimasak secara rebus atau bakar berbanding digoreng menggunakan minyak masak.

Kartisol merupakan sejenis hormon steroid yang dirembeskan oleh korteks kelenjar adrenal. Sebarang tekanan sama ada mental atau fizikal boleh menaikkan penghasilan dan perembesan kartisol.

Dalam perkembangan berkaitan, Adilah berkata, terdapat beberapa jenis makanan lain yang mampu mengurangkan tekanan jiwa seperti sumber kekacang iaitu badam, pistachio dan kacang walnut kaya dengan Vitamin B2, Vitamin E, magnesium dan zink.

“Selain itu, susu, bijirin penuh seperti roti mil penuh, bijirin sarapan pagi, beras perang dan oat mengandungi karbohidrat kompleks yang bertindak untuk merangsang pengeluaran hormon serotonin (bahan kimia pencetus rasa gembira di dalam otak). Bijirin penuh yang kaya dengan Vitamin B dapat meningkatkan tenaga dan mengurangkan keletihan.

“Makanan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran tinggi dengan antioksidan seperti Vitamin C, Vitamin E dan beta karotena yang membantu dalam mengurangkan kesan radikal bebas,” katanya.

Ujarnya lagi, sumber vitamin C yang baik adalah jambu batu, brokoli dan oren. Sumber Vitamin E yang baik adalah betik, bayam dan zaitun manakala makanan yang tinggi dengan beta karotena termasuk keledek, lobak merah dan labu.

“Aprikot kaya dengan magnesium dan berkhasiat untuk membantu menenangkan otot dari dalam. Magnesium juga berfungsi membantu mengawal atur hormon stres,” katanya.

Sumber makanan yang mampu mengurangkan stress

1. Ikan kembung
2. Ikan tenggiri
3. Ikan salmon
4. Badam
5. Pistachio
6. Kacang walnut
7. Roti mil penuh
8. Bijirin sarapan pagi
9. Beras perang
10. Oat
11. Jambu batu
12. Brokoli
13. Oren
14. Aprikot
15. Betik
16. Bayam
17. Zaitun
18. Keledek
19. Lobak merah
20. Labu.- MalaysiaGazette