menerima wang Manfaat Kemalangan Jalan Raya dan Elaun Hospital bernilai RM10,225.

KUALA LUMPUR – Seorang guru Sekolah Kebangsaan (SK) Guntong di Terengganu, Sukri Abdul Rahman, 46,  tidak menyangka akhirnya yuran keahlian sebanyak RM28 yang dibayar setiap bulan itu membantu dirinya di saat diuji dengan kemalangan jalan raya bulan lalu.

“Saya betul-betul lega apabila Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) tampil menghulurkan manfaat Kemalangan Jalan Raya dan Elaun Hospital sebagai Ahli Skim 18 (AS18). Saya boleh katakan keahlian YGMB ini diibaratkan seperti kita menabung kewangan dengan mereka dan ia boleh digunakan saat-saat memerlukan.

“Saya juga bersyukur apabila urusan dengan YGMB ternyata mudah sejak mula mendaftarkan diri sebagai ahlinya dan ternyata ia amat berbeza dengan kebanyakkan skim perkhidmatan kewangan yang lain selalunya memerlukan proses tuntutan yang agak rumit dan memakan masa,” ujar guru Pendidikan Islam itu dekat sini hari ini.

Mengulas lanjut, Sukri tidak sangka kemalangan yang berlaku pada 5 Syawal lalu benar-benar mengubah kehidupan sehariannya apabila pergerakannya kini terbatas dan tidak boleh dilakukan seperti biasa.

“Saya dinasihatkan doktor untuk berehat dalam tempoh tiga bulan ini bagi memudahkan proses pemulihan. Pergelangan tangan saya patah dan terdapat beberapa luka di bahu dan juga lengan saya sehingga menyebabkan saya perlu menjalani pembedahan minor bagi memasukkan besi.

“Buat masa sekarang, semua urusan harian saya dilakukan oleh isteri tercinta. Dia yang selalu mengurus makan minum serta memandu kereta ke mana saya perlu pergi. Mujur, saya masih diberi cuti sakit sehingga Ogos ini. Sedih memang sedih, tetapi saya perlu terus kuat untuk kembali pulih,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan YGMB di sini.

Wan Munadi Wan Mamat (dua dari kiri), Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Abdul Muie Ngah (dua dari kanan) dan Pegawai Pendidikan Daerah Dungun, Kasman Embong (kiri) yang masing-masing menyerahkan borang pendaftaran keahlian Skim Emas.

Sementara itu, bapa kepada empat orang anak itu menerima wang Manfaat Kemalangan Jalan Raya dan Elaun Hospital bernilai RM10,225 yang disampaikan sendiri oleh Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Nerus, Hamid Yahya.

Hadir sama ialah Ahli Pemegang Amanah YGMB, Zainuddin Muda dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Munadi Wan Mamat.

Sementara itu, Wan Munadi turut menzahirkan ucapan terima kasihnya kepada Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Abdul Muie Ngah dan Pegawai Pendidikan Daerah Dungun, Kasman Embong yang masing-masing menyerahkan borang pendaftaran keahlian Skim Emas dalam satu Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) yang dihadirinya di Dungun. – MalaysiaGazette