Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Menangani Isu Sekuriti Bekalan Makanan Negara yang bersidang hari ini mempertimbangkan cadangan penetapan harga siling ayam yang baharu serta kadar subsidi kepada penternak.

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Menangani Isu Sekuriti Bekalan Makanan Negara yang bersidang hari ini mempertimbangkan cadangan penetapan harga siling ayam yang baharu serta kadar subsidi kepada penternak.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menerusi catatan di Facebooknya memaklumkan cadangan berkenaan akan dibawa ke Mesyuarat Kabinet pada Rabu (29 Jun) sebelum diumumkan.

“Harga kawalan baharu ini mengambil kira kepentingan penternak, pemborong dan peruncit bagi memastikan harga yang ditetapkan adalah munasabah bagi semua pihak.

“Bantuan tunai tambahan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang diumumkan oleh Perdana Menteri juga telah diambil kira,” katanya.

Turut sama dalam mesyuarat itu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Ronald berkata mesyuarat berkenaan juga mengambil maklum mengenai status semasa bekalan makanan negara dan status harga barangan terpilih serta pelaksanaan intervensi pengukuhan sekuriti makanan negara.

Katanya, bekalan ayam diunjur kekal stabil dan mencukupi pada minggu keempat Jun, selain bekalan komoditi lain turut diunjur stabil dan mencukupi bagi menampung permintaan bulan semasa.

Selain itu, beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna memaklumkan status terkini barangan harga terpilih dan tindakan penguatkuasaan yang diambil terhadap premis yang didapati tidak mematuhi pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum bagi Ayam dan Telur.

“Usaha sama rentas kementerian akan diteruskan untuk meminimumkan impak beban kos sara hidup rakyat.

“Kerajaan komited meneruskan usaha bagi memastikan kelangsungan dan kebolehcapaian bekalan makanan di pasaran dengan harga yang berpatutan demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya. – BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN:

Harga siling baharu ayam bawah RM10?