Dr Afif Bahardin

KUALA LUMPUR – Pendedahan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengenai wujud komplot  menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini mendapat perhatian pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menurut Timbalan Pengerusi Biro Penerangannya, Dr Afif Bahardin, pihaknya mendesak Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil membuat kenyataan berhubung dakwaan Tajuddin.

“Saya mendesak Ahli Parlimen Port Dickson untuk wajib tampil memberi justifikasi mengenai kesediaan beliau bagi mendapatkan sokongan kluster mahkamah untuk membolehkan beliau menjadi Perdana Menteri.

“Apakah yang beliau telah janjikan kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan kluster mahkamah bagi memenuhi obsesi patologikalnya untuk bergelar seorang Perdana Menteri?” soal Afif dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya itu berkata demikian mengulas pendedahan Tajuddin bahawa beliau merupakan saksi hidup terhadap pengumpulan akaun bersumpah (SD) yng diketuai Presiden UMNO menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri kesembilan selepas kejatuhan kerajaan PN.

Mengulas lanjut, Afif berkata, sikap hipokrasi pemimpin Pakatan Harapan (PH) amat memualkan tanpa segan silu menyelar ahli politik PN sebagai pengkhianat.

“Tetapi diam seribu bahasa apabila terbukti Presiden PKR sendiri sanggup menerima sokongan ahli Parlimen dari kluster mahkamah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette