Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi membuat gimik perasmian Program Santai Mesra NGO Anak Muda Geng 18 di MSekin Wonderland, Sekinchan. Foto MOHD ADZLAN, 03 JULAI 2022.

SEKINCHAN – UMNO Bahagian Sungai Besar tidak menafikan pengundi muda berusia 18 hingga 25 tahun bakal menjadi penentu kepada kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Ketuanya, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, sekurang-kurangnya 48 peratus atau 23,800 pengundi muda di Parlimen Sungai Besar boleh menentukan kelangsungan parti itu.

“Pada masa ini terdapat seramai 23,800 pengundi muda yang merupakan daftar pemilih terbesar di Parlimen Sungai Besar. Pengundi muda ini menjadi penentu kerana penyumbang kepada 48 peratus kepada keputusan PRU-15,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyempurnakan Program Santai Mesra NGO Anak Muda Geng 18 Bersama di MSekin Wonderland.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Dalam pada itu, kata Jamal, jumlah daftar pengundi muda itu meningkat setiap bulan dan dijangka mencecah 25,000 orang atau 52 peratus menjelang Oktober ini.

“Inilah cabaran yang perlu kita hadapi untuk mendapatkan maklumat pengundi muda terutama mereka yang tinggal di luar kawasan,” katanya.

Jelasnya, dengan bantuan badan bukan kerajaan (NGO) Geng 18, beliau yakin usaha berterusan untuk menyantuni pengundi muda bukan sahaja memberi kefahaman politik bahkan tanggungjawab mengundi penting kepada negara dapat dicapai sebelum PRU15.

“Kesedaran dalam kalangan pengundi anak muda khususnya masih kurang kesedaran dan tak faham tak kisah tentang tanggungjawab mereka betapa pentingnya mereka keluar mengundi.

“Kami di Sungai Besar ini memberikan galakan dan pengetahuan kewajipan keluar mengundi, seterusnya melalui program santai kami dapat mendekati pengundi muda dengan mudah,” katanya.

Sementara itu, mengulas pertemuan UMNO Bahagian Sungai Besar dengan Ahmad Zahid, beliau memberitahu, kehadiran Presiden UMNO itu dapat memberi suntikan semangat kepada ahli parti dan petugas pilihan raya.

Katanya, Ahmad Zahid dalam perjumpaan tertutup UMNO Bahagian Sungai Besar memberikan pandangan dan pendapat serta amanat beliau bagi memastikan UMNO kembali merampas Parlimen berkenaan.

“Pesan presiden agar solidariti dan perpaduan dalam kalangan ahli UMNO Sungai Besar paling utama untuk kita kembali merampas kerusi Parlimen Sungai Besar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast