Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memberikan moratorium bayaran sewa selama enam bulan bermula bulan ini kepada pengusaha dan penyedia perkhidmatan makanan di dalam kampus Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, langkah itu agar tanggungan kos tersebut boleh diserap bagi menurunkan harga makanan yang dijual kepada pelajar kampus.

“KPT sentiasa prihatin dan cakna terhadap kebajikan pelajar di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) bagi memastikan sesi pembelajaran dan pengajaran sepanjang pengajian mereka berjalan dengan lancar.

“Namun, KPT sedia maklum mengenai peningkatan harga barangan di negara ini yang turut memberi kesan kepada harga makanan di dalam kampus yang menjadi kegusaran utama pelajar ketika ini.

“Oleh demikian moratorium bayaran sewa untuk penyedia makanan di kampus akan dilaksanakan sebagai usaha ia mampu menyerap kos sekaligus mengurangkan beban pelajar di kampus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, tambah Noraini, kementerian juga bersetuju dengan cadangan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) untuk membentuk satu Jawatankuasa Tindakan Sara Hidup Siswa Keluarga Malaysia yang dipengerusikan sendiri olehnya.

Menurut beliau, jawatankuasa itu bertanggungjawab bagi menyelaras dan melaksana dasar, memantau kawalan harga barang, perkhidmatan serta membentuk jaringan kolaborasi dengan pihak berkepentingan secara holistik.

Jawatankuasa berkenaan turut disokong di peringkat institusi, melalui jawatankuasa yang dipengerusikan oleh naib canselor, rektor atau pengarah bagi memperkemas pelaksanaan ke atas keputusan dasar yang dibuat di peringkat kementerian.

“Dalam pada masa sama, kementerian akan memperkasa inisiatif Food Bank Siswa dan Food@ Campus di IPT dengan kerjasama pelbagai kementerian, badan bukan kerajaan, syarikat korporat dan badan-badan persendirian.

Food Basket Siswa Keluarga Malaysia pula akan diperkenalkan sebagai inisiatif tambahan yang akan menawarkan menu makanan berkualiti dengan harga siling RM3.50 per hidangan.

“Selain itu kemudahan pengangkutan pelajar dalam dan ke luar kampus akan turut ditambahbaik melalui penyediaan jadual pergerakan yang lebih kerap agar memudahkan dan menjimatkan masa perjalanan aktiviti harian pelajar.

“Pihak KPT sentiasa komited dalam menjaga kebajikan mahasiswa di seluruh negara ini selari dengan aspirasi kerajaan hari ini yang prihatin serta komited membantu Keluarga Malaysia dalam saat yang mencabar ini,” tegasnya.- MalaysiaGazette