KUALA LUMPUR – Harga eksport Malaysia pada bulan Mei 2022 kekal kukuh dengan peningkatan 3.9 peratus daripada 143.0 mata pada bulan sebelumnya kepada 148.6 mata.

Selaras dengan prestasi eksport, indeks nilai seunit import juga mencatatkan peningkatan 2.9 peratus kepada 132.7 mata dan terma perdagangan Malaysia kembali mencatatkan pertumbuhan 1.0 peratus bulan ke bulan kepada 112.0 mata.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks nilai seunit eksport meningkat 3.9 peratus pada Mei 2022 berbanding bulan sebelumnya, disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak galian (+9.6), minyak & lemak binatang
& sayur-sayuran (+6.0%), dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+2.4%).

Sementara itu, indeks volum eksport menurun 9.1 peratus pada bulan yang sama disebabkan oleh kejatuhan indeks barang-barang keluaran kilang (-25.6%), pelbagai barang keluaran kilang (-14.2%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-6.8%).

Indeks volum eksport pelarasan bermusim menyusut 9.1 peratus daripada 162.2 mata kepada 152.4 mata.

Berdasarkan perbandingan tahunan, kedua-dua indeks nilai seunit dan volum eksport masing-masing berkembang 22.2 peratus dan 6.9 peratus.

Di samping itu, indeks nilai seunit import meningkat 2.9 peratus pada Mei 2022 berbanding bulan sebelum, disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (+11.7%), minyak galian (+11.0%) dan alat jentera &
kelengkapan pengangkutan (+1.9%).

Indeks volum import turut merekodkan peningkatan 0.7 peratus pada Mei 2022 berbanding bulan sebelum, disumbangkan oleh kenaikan indeks makanan (+9.5%), alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+6.3%) dan
pelbagai barang keluaran kilang (+4.0%).

Manakala indeks volum import pelarasan bermusim pada Mei 2022 turut meningkat 0.7 peratus daripada 177.0 mata kepada 185.6 mata.

Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan kedua-dua indeks nilai seunit dan volum import masing-masing berkembang 12.9 peratus dan 21.7 peratus.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) turut melaporkan terma perdagangan Malaysia meningkat 1.0 peratus bulan ke bulan kepada 112.0 mata pada Mei 2022, didorong oleh kenaikan indeks pelbagai urus niaga & barangan (+22.3%), alat jentera & kelengkapan pengangkutan (+0.57%) dan pelbagai barang keluaran kilang (+0.55%).

Perbandingan tahun ke tahun prestasi terma perdagangan Malaysia menunjukkan pertumbuhan positif 8.2 peratus daripada 103.5 mata pada Mei tahun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast