Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada Majlis Pelancaran Blueprint Perumahan 3.0 (BP3.0) Kementerian Pertahanan di Wisma Perwira, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 13 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Berhad (Petronas) akan mengeluarkan satu lagi kenyataan berhubung dua asetnya yang dirampas oleh waris Kesultanan Sulu

“Petronas akan keluarkan kenyataan,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri yang ditemui selepas pelancaran Blueprint Perumahan 3.0 Kementerian Pertahanan di Wisma Perwira hari ini.

Semalam, Financial Times melaporkan waris Kesultanan Sulu telah merampas aset dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan.

Laporan itu berkata, peguam pihak yang menuntut telah merampas aset syarikat petroleum yang yang didaftarkan di Luxembourg, Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus yang dianggarkan bernilai AS$2 bilion (RM8.9 bilion).

Petronas dalam satu kenyataan semalam, mengesahkan kedua-dua anak syarikat dalam laporan tersebut telah menerima notis ‘Saisie-arret’ (perintah rampasan) pada 11 Julai 2022.

”Petronas merujuk kepada laporan media Financial Times bertajuk ‘Petronas subsidiaries seized as lawyers press $15bn claim on Malaysia.

“Petronas menganggap tindakan yang diambil terhadapnya sebagai tidak berasas dan akan terus mempertahankan kedudukan Petronas dari segi undang-undang dalam hal ini,” kata kenyataan itu.

Difahamkan juga, tindakan itu merupakan sebahagian daripada tindakan undang-undang dikemukakan waris Sulu pada 2017 untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah yang didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat British pada 1878. – MalaysiaGazette