CS Chong (kanan) dan Hong Yee.

KUALA LUMPUR – Pak John Steambot & BBQ (Pak John) melabur sebanyak RM1.2 juta untuk membuka cawangan keempatnya di Great Eastern Mall sejak 26 Jun lalu.

Pengarah Urusannya, CS Chong berkata, restoran terbaharu  dibuka di bawah pengurusan usahawan baharu, Chen Hong Yee di bawah konsep francais.

Menurut beliau, lokasi baharu yang terletak di kawasan strategik itu memberi kelebihan kepada syarikat untuk menarik lebih ramai pengunjung.

“Keistimewaan lokasi baharu ini kerana ia amat selesa kerana memiliki ruang makan luas yang mampu memuatkan 260 pelanggan dalam satu masa selain dua bilik privasi serta bilik karaoke.

“Restoran itu dibuka setiap hari bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam setiap melibatkan kakitangan seramai 18 orang dengan menyediakan lebih 120 menu bersama 16 jenis sos termasuk pelbagai pemanis mulut seperti wafel dan air batu campur (ABC).

“Bersandarkan kepada jenama Pak John yang semakin popular, peminat stimbot di ibu kota pastinya akan memilih untuk menikmati hidangan di restoranini selain harga pakej buffet berpatutan yang ditawarkan,” katanya pada majlis bersama media baru-baru ini

Antara lokasi restoran sedia ada syarikat terletak di pusat beli-belah IOI Mall di Putrajaya dan Tropicana Garden Malls.

Pak John kini menawarkan dapur memasak stimbot dan menggril daging tanpa asap serta mesra pengguna.

Sementara itu, Chong menambah, pihaknya bercadang untuk membuka lima cawangan baharu pada tahun depan sebagai usaha meluaskan penguasaan pasaran serta memberi peluang kepada lebih ramai pelanggan menikmati hidangan daripada restorannya.

Beliau berkata, inisiatif syarikat pada tahun depan juga adalah untuk meneroka pasaran di luar Lembah Klang dengan membuka cawangan baharu di bandar-bandar utama seperti di Johor buat permulaan.

“Untuk separuh kedua tahun ini, kami sedang merangka pelan pengembangan ke Shah Alam, Selangor tidak lama lagi,” katanya.

Chong menjelaskan, restoran baharu Pak John menawarkan dapur memasak stimbot dan menggril daging tanpa asap serta mesra pengguna yang akan memudahkan pelanggan menikmati hidangan dengan lebih selesa.

Binaan dapur di dalam meja yang dilengkapi penapis udara untuk meresap minyak dan asap membuatkan persekitaran restoran lebih bersih dan tidak mencederakan tangan pelanggan kerana percikan minyak ketika menggril daging dan memasak stimbot.

Sejarah Pak John bermula pada tahun 2013 menerusi kios kecil dengan modal permulaan RM40,000. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast