Joe Biden melakukan fist bump dengan Putera Mahkota Arab Saudi sebelum memulakan pertemuan rasmi. Foto Reuters

RIYADH – Arab Saudi dan Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat bersetuju mengukuhkan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk rangkaian 5G, keselamatan siber, penerokaan angkasa lepas dan kesihatan umum, lapor Al Arabiya News.

Perjanjian itu dibuat sempena lawatan negara pertama Presiden Joe Biden ke negara itu untuk mengadakan pertemuan dengan pemimpin Arab Saudi bagi menyemak keperluan pertahanan dan membincangkan kepentingan aspek keselamatan tenaga global.

Menurut kenyataan selepas mesyuarat berkenaan, Biden mengalu-alukan langkah terbaru Saudi menandatangani Perjanjian Artemis yang diterajui NASA, perjanjian membabitkan penerokaan angkasa lepas.

Biden berkata AS mengukuhkan semula komitmennya untuk melaksanakan penerokaan dan pengunaan angkasa lepas secara bertanggungjawab, aman dan mampan.

Presiden AS itu turut memuji peranan yang dimainkan Arab Saudi dalam menyokong usaha gencatan senjata di Yaman.

Arab Saudi adalah destinasi terakhir Biden dalam rangka lawatannya ke Timur Tengah.

Lawatan diplomatik itu bermula pada Rabu dan dijangka berakhir Sabtu, turut meliputi Israel dan Tebing Barat.

Biden dijadual menghadiri sidang kemuncak Majlis Kerjasama Teluk pada Sabtu. Sidang berkenaan turut dihadiri Raja Jordan, Presiden Mesir dan Perdana Menteri Iraq. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast