KUALA LUMPUR – Seorang individu dipercayai pengerusi kepada sebuah pusat tahfiz dikecam warganet selepas membuat kenyataan bercanggah terhadap mangsa rogol bawah umur.
Menerusi satu hantarannya di Facebook semalam, dia menyifatkan mangsa berumur 14 tahun dalam kes rogol penceramah bebas yang ditahan baru-baru ini bukan dirogol, tetapi atas kerelaannya sendiri.
Hantaran yang tular itu turut mendapat perhatian daripada pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung yang kesal terhadap komen daripada individu tersebut.
“Saudara Ezzat juga merupakan seorang suami dan mungkin juga seorang ayah. Tergamak Ezzat berkata begini?,” soalnya.
Malah, Pengasas Pertubuhan Mualaf Pelbagai Bangsa (MRM) itu menjelaskan, hantaran yang dianggap jijik oleh individu berkenaan adalah salah dari segi undang-undang.
“Apa sahaja hubungan seksual dengan individu bawah umur adalah rogol walaupun suka sama suka!.”
“Isunya bukan sama ada suka sama suka tetapi bagaimana boleh seseorang yang mempunyai kedudukan dan ilmu agama mengadakan hubungan seksual dengan gadis bawah umur andai suka sama suka sekalipun?,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Semalam, penceramah bebas itu direman lima hari hingga Sabtu ini kerana disyaki merogol seorang gadis berusia 14 tahun.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Sasikala Devi berkata, penceramah berusia 30-an itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor jam 4.50 petang kelmarin. – MalaysiaGazette