Trofi Liga Super Malaysia.

KUALA LUMPUR – Saingan Liga Super 2023 akan menerima format baharu apabila Malaysian Football League (MFL) meluaskan penyertaan liga kepada 18 pasukan.

Perubahan format liga itu akan menjadikan Liga Malaysia menjadi lebih kompetitif berbanding saingan 12 pasukan sahaja.

Perkara itu diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam pada sidang media semalam.

Beliau berkata, perubahan format Liga Super 2023 ini merupakan sebahagian daripada pelan rombakan Liga Malaysia secara besar-besaran oleh MFL.

“Dengan format liga 18 pasukan, MFL menggantung sementara saingan Liga Premier untuk beberapa tahun sehingga pelan untuk mengurangkan jurang antara Liga Super dan Liga M3 berjaya dilakukan.

“Liga Super 2023 akan menyaksikan 12 pasukan Liga Super 2022 dengan tambahan enam kelab dari Liga Premier 2022,” katanya.

Pemain Sri Pahang FC, Azwan Mohd Aripin (kanan) cuba mendapatkan bola sambil diasak pemain Selangor FC, Quentin Cheng Jiun Ho pada perlawanan Liga Super Malaysia 2022 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 29 APRIL 2022.

Stuart menambah, enam kelab Liga Premier itu bukanlah pasukan simpanan seperti Selangor II atau Skuad Projek FAM-MSN, sebaliknya adalah kelab seperti Perak dan Kelantan.

Sebaliknya, pasukan-pasukan simpanan ini akan ditempatkan dalam liga simpanan (reserve league) yang turut akan dimulakan musim hadapan.

Selangor II, Terengganu II dan Johor Darul Ta’zim II akan menyertai Skuad Projek FAM-MSN serta pasukan lain dalam liga simpanan tersebut.

Liga simpanan itu akan menyaksikan pemain B-23 boleh diturunkan sehingga lapan orang dalam satu-satu masa dengan tiga lagi pemain sama adalah pemain lebih umur atau pemain import.

Ianya menggunakan seolah-olah format acara bola sepak Sukan SEA.

Format Liga Super dengan 18 pasukan ini hanyalah untuk musim 2023 sahaja kerana bermula 2024 liga akan dilangsungkan dengan 16 pasukan secara tetap. – MalaysiaGazette