Anggota polis meleraikan peserta yang menyertai Himpunan Turun ke jalan raya yang melakukan tanda protes terhadap pentadbiran kerajaan untuk potong gaji menteri, kekalkan harga subsidi dan kawalan harga barang ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di hadapan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 23 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Polis mengenalpasti identiti 30 individu daripada kira-kira 100 peserta menyertai Himpunan #Turun yang membantah kenaikan harga barang, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, kesemua individu itu akan dipanggil untuk membantu siasatan polis.

“Pada 2 hingga 3 petang hari ini terkesan satu perhimpunan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang telah diadakan di hadapan sebuah pusat membeli belah terkemuka iaitu Kompleks Sogo, Jalan Tunku Abdul Rahman hari ini.

“Hasil daripada pemerhatian yang dibuat didapati seramai lebih kurang 100 orang terdiri daripada mahasiswa, ahli politik dan beberapa individu yang dikenal pasti dan belum dikenal pasti telah berhimpun mengadakan Himpunan #Turun sambil memegang plakad dan bunting bertulis ‘Potong Gaji Menteri’, ‘Turun dan Lawan’ dan lain-lain lagi,”katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis sekat peserta perhimpunan berarak ke Dataran Merdeka

Tambah beliau, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Setakat ini seramai 30 individu telah dikenalpasti dan kesemua individu terlibat dalam himpunan tersebut akan dipanggil ke IPD Dang Wangi untuk diambil keterangan bagi siasatan yang dijalankan dalam masa terdekat.

“Pihak polis menasihati agar orang ramai tidak terlibat dengan apa-apa kesalahan yang melanggar undang-undang dan tindakan tegas akan diambil di bawah Peruntukan Undang-Undang yang masih berkuatkuasa,” ujarnyanya.

Peserta perhimpunan itu cuba berarak ke Dataran Merdeka namun disekat pasukan polis. – MalaysiaGazette