KUALA LUMPUR – Sebuah rumah kongsi di Jalan Bukit Indah, Bukit Jalil di sini musnah dalam kebakakaran tengah malam tadi.
Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Wan Mohd Shahrir Azizi Wan Said berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui sistem MERS 999 daripada orang awam berhubung kejadian pukul 12.15 tengah malam.
Katanya, seramai 22 anggota dari Balai Bomba Bukit Jalil yang turut mendapat bantuan dari Balai Sri Petaling dan Cheras digegaskan ke lokasi kejadian.
“Sejurus tiba, kami dapati kebakaran melibatkan sebuah rumah kongsi sementara di tapak pembinaan.
“Kebakaran itu telah memusnahkan 90 peratus rumah kongsi yang berkeluasan 50 X 70 kaki persegi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Bagaimanapun katanya, tiada mangsa terkorban dalam kejadian itu.
Kebakaran turut memusnahkan sebuah kontena yang berada bersebelahan rumah kongsi tersebut.
Tambahnya, api berjaya dikawal dan siasatan berhubung kejadian turut dilakukan bagi memastikan punca ia berlaku. – MalaysiaGazette